Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetengahkan isu kemiskinan dan pembaharuan tadbir urus global pada Sidang Kemuncak G20, yang berlangsung di Brazil, hari ini. 

Beliau dijadual menghadiri pelancaran ‘Global Alliance Against Hunger and Poverty’, inisiatif penting dalam usaha membasmi kemiskinan dan kebuluran global.

Tema ini sejajar dengan visi Kerajaan MADANI yang menumpukan kepada peningkatan taraf hidup rakyat, termasuk membasmi kemiskinan tegar di Malaysia.

Juga sebagai Menteri Kewangan, Anwar akan membawa suara Malaysia dalam dua sesi utama, iaitu Keterangkuman Sosial dan Perjuangan Membasmi Kemiskinan dan Kebuluran serta Reformasi Institusi Tadbir Urus Global. 

Kedua-dua sesi ini menjadi platform strategik bagi Malaysia menyuarakan pandangan terhadap isu ketidaksamaan sosial dan keperluan mendesak untuk mereformasi sistem tadbir urus antarabangsa.

Selain itu, beliau turut dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin global termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa. 

Pertemuan ini dijangka memperkukuh hubungan diplomatik dan membuka ruang kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

Malaysia bersama 16 negara lain seperti Singapura, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, adalah negara jemputan pada Sidang Kemuncak G20 kali ini. 

Kali terakhir Malaysia menyertai persidangan ini ialah pada 2015 di Turkiye ketika menjadi Pengerusi ASEAN.

Sidang Kemuncak G20 menghimpunkan 19 negara utama dan dua kesatuan, termasuk gergasi ekonomi seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, dan Jerman. 

Ia turut membabitkan Kesatuan Eropah (EU) dan Kesatuan Afrika (AU), menjadikan forum ini sebagai platform penting untuk membincangkan isu-isu global.

Penyertaan Malaysia dalam G20 mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus relevan dalam landskap global sambil memperjuang kepentingan negara membangun dalam menangani cabaran sejagat.-BH Online