RIO DE JANEIRO: Malaysia akan memanfaatkan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam sektor semikonduktor, seiring tema “Inklusiviti dan Kelestarian.”
Usaha ini bertujuan memperkukuh rantaian bekalan serantau, menggalakkan amalan hijau, dan mempertingkat pembangunan bakat, sekali gus memposisikan ASEAN sebagai hab global dalam industri teknologi tinggi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada ucapan pembukaan pertemuan industri semikonduktor Malaysia-Brazil, berkata peranan itu membuka peluang strategik bagi Malaysia untuk memimpin inisiatif serantau yang selaras dengan agenda pembangunan nasional.
“Kita akan memanfaatkan kedudukan ini untuk memacu kerjasama ASEAN, memperkukuh rantaian bekalan, dan menggalakkan kelestarian industri semikonduktor yang memberi manfaat kepada semua negara anggota,” katanya.
Pertemuan itu diadakan di sela-sela Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro.
Dalam majlis yang berlangsung di Windsor Barra Hotel di sini hari ini, Malaysia turut mengukuhkan kedudukannya di pentas antarabangsa melalui pertemuan strategik dengan Brazil.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertemuan itu menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan industri semikonduktor Malaysia dan Brazil.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Bhd Dr Saat Shukri Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif Eldorado Institut Roberto Soboll.
MoU seterusnya membabitkan Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Datuk Seri Wong Siew Hai serta Presiden Persatuan Industri elektrik dan elektronik, Dr Humberto Barbato.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“MoU ini adalah bukti komitmen bersama untuk terus relevan dalam ekosistem semikonduktor global, terutamanya ketika dunia berdepan perubahan geopolitik dan penyelarasan semula rantaian bekalan,” kata Tengku Zafrul.
Malaysia kini adalah pengeksport keenam terbesar semikonduktor global, dengan nilai eksport mencecah AS$85 bilion (RM380 bilion) pada 2023.
Tengku Zafrul menekankan, ekosistem negara yang menyeluruh, melibatkan pemain utama global seperti Intel dan Infineon serta syarikat tempatan seperti Carsem dan Inari, telah menjadikan Malaysia hab utama untuk industri automotif, peranti perubatan, dan teknologi canggih.
Beliau turut mengetengahkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang menyasarkan pelaburan bernilai RM500 bilion menjelang 2030, pembangunan 10 juara tempatan, dan latihan 60,000 jurutera baharu.
Kerajaan Malaysia turut memperkukuh komitmennya terhadap sektor ini menerusi Belanjawan 2025, termasuk peruntukan RM1 bilion untuk pembangunan bakat dan pembiayaan strategik melalui Dana Pelaburan Bersama (CoSIF).
Pelaburan besar seperti projek Infineon bernilai RM30.1 bilion di Kulim Hi-Tech Park disifatkan sebagai pemacu utama pertumbuhan industri.
Malaysia berada di landasan kukuh untuk menjadi hab utama semikonduktor dunia. Dengan sokongan padu kerajaan, pelaburan strategik, dan kerjasama antarabangsa, sektor ini dijangka terus berkembang pesat, memberikan manfaat kepada Malaysia dan rakan strategiknya, termasuk Brazil.
Majlis diteruskan dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan pentingnya kerjasama strategik dalam membangunkan ekosistem teknologi global yang inklusif dan mampan.-BH Online