Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PASIR MAS: Undang-undang Malaysia tidak pernah mengiktiraf dua kerakyatan dan mana-mana individu yang memilikinya menjadi satu kesalahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata pihaknya mengalu-alukan maklumat daripada polis Thailand berhubung senarai individu yang dikesan memiliki dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand.

Katanya, Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan kerajaan yang baik.

“Justeru, kedua-dua pihak berkuasa negeri melalui jawatankuasa bersama yang sudah sedia ada, mereka (Thailand) boleh menyerahkan senarai yang didakwa miliki dua warga negara.

“Sebaik kita mendapat senarai berkenaan, kita akan semak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selepas itu baru kita boleh sahkan.

“Undang-undang Malaysia tidak mengiktiraf dua kerakyatan. Mereka yang memiliki dua kad pengenalan menyalahi undang-undang.

“Apapun dakwaan polis Thailand kita ambil sebagai satu kenyataan dan kita mempelawa mereka menyerahkan senarai nama berkenaan.null

“Saya terbuka untuk menerima sebarang maklumat dari Thailand sebagaimana yang mereka juga minta bantuan kita untuk kesan sejumlah nama (berkaitan kes jenayah). Begitu juga kita minta bantuan mereka untuk kesan senarai yang miliki dua kerakyatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis Thailand tidak menolak kemungkinan pengedar dadah dan penjenayah yang bergiat aktif di sempadan Malaysia-Thailand mempunyai dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan.

Ketua Polis Daerah Narathiwat, Kolonel Polis Pratya Baiteh dilaporkan berkata, ada antara penjenayah ini berjaya ditangkap pihak berkuasa Thailand selepas mereka terbabit dalam kes dadah dan jenayah.

Beliau berkata, memiliki dua kad pengenalan memudahkan mereka untuk melarikan diri sama ada ke Malaysia atau Thailand sekiranya mereka diburu oleh pihak polis kedua-dua negara.-BH Online