Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LIMA, Peru: Malaysia dan Hong Kong (HK) akan terus memperkukuhkan hubungan dua hala dengan memfokuskan kepada kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan sistem rel transit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbincangan mengenai kerjasama itu diadakan bersama Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka-chiu, di sela-sela Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2024.

Pertemuan itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluaskan hubungan ekonomi dan sosial demi manfaat bersama.null

“Kerjasama ini penting dalam memastikan kedua-dua pihak dapat terus memperluaskan hubungan ekonomi dan sosial yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Hong Kong,” katanya.

Hong Kong turut menawarkan peluang kepada Malaysia untuk mempelajari teknologi pengangkutan canggih mereka dan menyertai projek pembangunan hab Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI), termasuk Taman Sains yang diterajui oleh HKSAR. 

Jemputan berkenaan diharapkan dapat memperkukuh keupayaan Malaysia dalam bidang teknologi dan inovasi.

Selain itu, Anwar menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) yang bakal beroperasi di Kuala Lumpur, Februari ini. null

Ia sekali gus membuka peluang baharu untuk mempererat hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua pihak.

“Pembukaan HKETO di Kuala Lumpur adalah peluang yang baik untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dan teknologi antara Malaysia dan Hong Kong,” katanya.

Pertemuan berkenaan mencerminkan aspirasi Malaysia dan Hong Kong untuk memperluaskan kerjasama strategik demi meningkatkan daya saing dalam ekonomi serantau, seiring dengan agenda Malaysia MADANI.

Tahun lalu, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Hong Kong dilaporkan mencecah RM105.09 bilion (AS$23.03 bilion). 

Jumlah eksport Malaysia ke Hong Kong adalah sebanyak RM89.84 bilion (AS$19.69 bilion), manakala import pula bernilai RM15.25 bilion (AS$3.34 bilion), dengan lebihan dagangan memihak kepada Malaysia.-BH Online