Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sistem Platform Ketinggian Tinggi menggunakan dron dan belon untuk menangkap data resolusi tinggi antara empat cadangan dikemukakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi meningkatkan keupayaan pengurusan bencana di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan lain ialah pemerhatian bumi iaitu menggunakan imej satelit untuk mengumpul data kritikal mengenai corak cuaca, paras laut, dan keadaan persekitaran serta memberikan amaran awal terhadap potensi bencana.

“Cadangan ketiga ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan bencana iaitu menggunakan teknologi ini untuk meramalkan bencana berdasarkan data sejarah, membolehkan amaran awal, ramalan jenis bencana dan perancangan logistik.null

“Seterusnya ialah Kenderaan Tindak Balas Bencana Khas. Ini mengambil pengajaran daripada penggunaan kenderaan canggih UAE (Emiriah Arab Bersatu) dalam pengurusan bencana untuk tindak balas yang lebih berkesan dan pantas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan kerja ke UAE bermula semalam sehingga 19 November ini.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei.

Ahmad Zahid berkata, perbincangan mereka tertumpu kepada pelbagai peluang kerjasama, terutama dalam pengurusan bencana. null

“Kami meneroka potensi kerjasama antara NADMA dan Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis, dan Bencana Nasional (NCEMA) UAE, sebuah badan utama di bawah Majlis Keselamatan Negara yang mempunyai kepakaran luas dalam pengurusan krisis merentasi pelbagai sektor.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya melihat ini adalah nilai tambah yang baik buat Malaysia untuk mempelajari amalan pengurusan krisis seperti UAE,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman UAE dalam menangani cabaran bencana yang kompleks memberikan pengetahuan berharga dalam usaha untuk memperkukuh kesiapsiagaan bencana di Malaysia. 

“Melalui langkah strategi yang tepat, kita dapat meningkatkan ketahanan kita untuk melindungi masyarakat dan infrastruktur dengan lebih baik,” katanya.

Katanya, selain pengurusan bencana, Malaysia dan UAE turut meneroka peluang kerjasama dalam sektor halal, termasuk pensijilan dan pengembangan potensi perdagangan halal. 

“Di samping itu, kami membincangkan inisiatif untuk memajukan usaha tenaga boleh diperbaharui di Malaysia serta meneroka kerjasama dalam sektor Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memudahkan pertukaran pengetahuan.

“Kolaborasi yang berpotensi tinggi ini akan mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia-UAE, seterusnya mengangkat perkongsian ke tahap yang lebih tinggi serta meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan bersama dan pembangunan mampan,” katanya.-BH Online