Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan berusaha keras untuk memastikan Malaysia menjadi peneraju serantau dalam industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata Malaysia memiliki kelebihan termasuk kematangan dalam industri minyak dan gas atau semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), berbanding negara-negara lain yang masih berada pada tahap rendah.

“Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dan global dalam usaha penyahkarbonan. Salah satunya adalah melalui CCUS. Bagi saya, ini adalah cara yang sangat berkesan untuk mendapatkan penyertaan pelbagai pihak dan menyokong usaha ini.

“Jika kita dapat melaksanakannya, lima hingga 10 tahun akan datang, industri berkaitan penyahkarbonan seperti CCUS mungkin akan menjadi sama meluas dalam industri lain,” katanya pada taklimat media mengenai inisiatif CCUS yang diadakan di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib; dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron. 

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, matlamat kerajaan adalah untuk membangunkan industri CCUS pertama menjelang 2028 atau 2029, dengan suntikan awal daripada sumber domestik.

Beliau berkata, selepas undang-undang dan perjanjian dua hala disempurnakan, syarikat seperti PETRONAS boleh mengembangkan perjanjian komersial dengan negara seperti Jepun, Singapura dan Korea.

Katanya, perjanjian jangka panjang yang pantas membolehkan penyesuaian dan pembinaan kemudahan di kedua-dua pihak untuk menangkap dan menyimpan karbon secara lebih cekap.

“Apa pun yang terjadi, suntikan pertama kemungkinan besar akan datang daripada sumber domestik semasa kita membangunkan kapasiti, sebaik sahaja undang-undang berkuat kuasa dan perjanjian dua hala ditandatangani.

“Dalam kes PETRONAS dan rakan-rakan kongsi lain, mereka boleh mengembangkan perjanjian komersial dengan industri dari Jepun, Singapura dan Korea dengan menandatangani kontrak jangka panjang. Lebih cepat kontrak jangka panjang ditandatangani, lebih baik, kerana penyesuaian dan pembinaan kemudahan perlu dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.

“Di pihak Malaysia, kita perlu membina dan menyediakan kapasiti penyimpanan, termasuk terminal. Di pihak negara pengeksport, mereka yang belum melaksanakannya perlu menyediakan kemudahan untuk menangkap karbon,” katanya.

Beliau menjelaskan, dari peringkat penubuhan sehingga ke operasi dan lesen tamat tempoh, semuanya adalah urusan sektor swasta dan tanggungjawab juga terletak pada sektor swasta.

“Dari segi tanggungjawab, ia bergantung pada lokasinya. Secara hipotesis, perjanjian dan pemahaman semasa membolehkan, sebagai contoh, Sarawak menggunapakai set undang-undang sendiri kerana ia sudah ada. Oleh itu, pembangunan CCUS di Sarawak ditadbir oleh undang-undang negeri dan undang-undang mereka menetapkan akauntabiliti selepas penamatan projek.

“Jadi, setelah lesen komersial tamat, tanggungjawab akan kembali kepada pihak berkuasa. Dalam kes Sarawak, jika ia dikendalikan di bawah undang-undang Sarawak, maka tanggungjawab itu adalah milik Sarawak, dan undang-undang telah menetapkan dana pasca penamatan.

“Begitu juga di tempat lain, jika ia dikendalikan di bawah undang-undang persekutuan, dana pasca penamatan akan dikendalikan di bawah undang-undang persekutuan, dan oleh itu undang-undang persekutuan akan menguruskannya,” katanya.-BH Online