Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LIMA, Peru: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima penghormatan tertinggi Peru, El Sol Del Peru yang bermaksud ‘Mentari Peru’, yang menjadikannya satu lagi pengiktirafan antarabangsa kepada Malaysia. 

Anugerah berprestij ini adalah penghormatan sivil tertua di benua Amerika, yang diwujudkan pada 1821 selepas Peru mencapai kemerdekaan dari Sepanyol, menjadikannya simbol bersejarah dalam diplomasi antarabangsa.

Anugerah berprestij ‘Mentari Peru’ berkenaan disampaikan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra ketika pertemuan di Istana Kerajaan Peru hari ini.

Dalam ucapan penghargaannya, Anwar bersyukur atas pengiktirafan ini dan menganggapnya sebagai penghormatan kepada seluruh rakyat Malaysia. 

“Saya terima anugerah ini bagi pihak rakyat Malaysia, dan kita menghargainya sebagai lambang persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Peru,” katanya.

Perdana Menteri turut menyatakan bahawa lawatan beliau ke Peru adalah satu pencapaian bermakna, kerana ia membawa beliau sejauh mungkin dari Malaysia. 

Katanya, lokasi Kuala Lumpur terletak di bahagian bertentangan bumi dari Peru, menggambarkan betapa jauhnya perjalanan ini.

Namun begitu, Anwar mengakui bahawa terdapat kesamaan antara Malaysia dan Peru yang tidak dapat diabaikan. 

Beliau menyatakan bahawa kedua-dua negara berkongsi sifat masyarakat yang majmuk dan kepelbagaian biodiversiti, yang menjadi teras kepada hubungan persahabatan mereka.

“Seperti Malaysia, Peru juga adalah sebuah negara berbilang budaya dan mempunyai ekosistem yang megadiversiti. Kedua-dua negara turut berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik dan persaingan ekonomi global,” jelasnya.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia dan Peru mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, selain menyokong kepentingan negara-negara Selatan dalam forum antarabangsa.

Katanya, jarak geografi tidak akan menjadi halangan untuk membina hubungan yang lebih erat dan produktif.

Sebagai seorang pencinta sastera, Anwar turut menzahirkan kekaguman terhadap penulis terkemuka Peru seperti César Vallejo dan Mario Vargas Llosa yang karya mereka membawa perspektif unik mengenai identiti budaya yang kompleks, serta keindahan bahasa yang menyentuh jiwa.

Beliau turut mengakui bahawa Vargas Llosa, penerima Nobel Kesusasteraan, dianugerahkan El Sol Del Peru pada Mac 2023. 

Pengiktirafan itu, menurut Anwar, menjadikan penerimaan beliau sebagai satu penghormatan yang sangat bermakna.

Anwar juga menyatakan harapan bahawa anugerah itu akan menjadi titik permulaan baharu dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan Peru. 

“Saya berharap ini akan menjadi permulaan yang baharu dalam hubungan kita, dan banyak yang kita boleh capai bersama pada masa akan datang,” tambahnya.

Dalam satu isyarat keakraban, Anwar mengucapkan terima kasih kepada Boluarte dan rakyat Peru dalam bahasa Sepanyol: “Muchas gracias Presidenta Dina Boluarte, al Gobierno y a la gente del Perú (Terima kasih tidak terhingga kepada Presiden Dina Boluarte, kepada Kerajaan dan rakyat Peru).”

Melalui lawatan itu, Anwar turut memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa sebagai negara yang proaktif dalam memperjuangkan kepentingan negara-negara Selatan dan memperluas hubungan dengan negara Amerika Latin.

Anugerah berkenaan juga menjadi lambang kepada pencapaian diplomatik negara dan komitmen Malaysia dalam mempromosikan kerjasama antarabangsa yang lebih erat.

Anwar menekankan bahawa hubungan yang terjalin ini adalah langkah positif dalam mewujudkan dunia yang lebih harmoni dan saling menghormati.-BH Online