Kuala Lumpur: Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib seharusnya digunakan untuk menasihatkan jemaah yang hadir dan bukannya menjadi pemecah belah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, khatib seharusnya tidak menggunakan mimbar khutbah bagi memfitnah sesuatu perkara yang tidak betul.
“Apa tujuan khutbah itu? Sepatutnya digunakan dalam tempoh khutbah itu untuk menasihatkan jemaah yang hadir dan bersatu padu.
“Peranannya adalah untuk menyatu padukan umat Islam contohnya di Kedah dan Selangor.
“Bukan jadi pemecah belah apatah lagi menggunakan mimbar khutbah untuk memfitnah benda yang tak betul” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Santuni Komuniti Madani Peringkat Kampung Angkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Bharu.
Semalam dilaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kesal tindakan seorang khatib mengulas isu pemberian warganegara kepada lebih satu juta rakyat China dalam khutbah Jumaat di sebuah masjid di Parlimen Padang Serai.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menerima aduan awal mengenai kejadian yang dilihat mampu mencemarkan institusi masjid.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, sekiranya khatib yang menyampaikan khutbah di Parlimen Padang Serai itu tidak mempunyai tauliah, Jabatan Agama Islam Negeri boleh mengambil tindakan.
“Seperti mana yang kita sedia maklum, di negeri Kedah, kuasa agama ini termasuklah dalam mendrafkan dan memberi khutbah itu terletak di bawah kuasa negeri.
“Katakan khatib yang memberikan khutbah, dia tidak ada tauliah, jadi Jabatan Agama Islam Negeri Kedah melalui bahagian penguatkuasaan boleh ambil tindakan kepada khatib yang memberikan khutbah atas dasar tidak ada tauliah untuk memberikan khutbah,” katanya.
Selain itu katanya, jika hasil siasatan pihak polis mendapati khutbah itu menimbulkan keresahan dan ketegangan kaum, ia juga boleh diambil tindakan.
Sementara itu, menyentuh mengenai Program Santuni Komuniti Madani, Mohd Na’im berkata, pihaknya bersama-sama Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan memastikan isu berbangkit dalam kalangan penduduk dapat diselesaikan.
Katanya, pihaknya akan membantu secepat mungkin termasuklah seperti dari sudut sosial dan pendidikan.
“Contohnya, isu ibu tunggal yang tidak dapat nafkah daripada suami atau bekas suami bagaimana Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Bahagian Sokongan Keluarga boleh membantu mereka ini mendapat hak,” katanya.-Harian Metro Online