SERDANG: Kerajaan akan meneliti kelompongan dalam pengagihan zakat bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam soal pemberian kepada golongan memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya tidak menafikan terdapat individu yang tidak amanah dalam soal pemberian zakat seperti berlaku di Terengganu baru-baru ini.
“Apa yang berlaku di Terengganu, saya tak boleh nafikan dalam ramai itu, mungkin ada satu, dua atau tiga yang tidak amanah.
“Mereka tak boleh tahan dengan godaan dunia menyebabkan berlakunya salah guna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kali ke-17 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Baru-baru ini dilaporkan, pengerusi masjid di Chukai, Terengganu direman enam hari hingga 10 November, disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak menerima zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im turut menyifatkan amanah diberikan hasil sumbangan pembayar zakat adalah berbahaya kepada mereka yang mengendalikan.
“Duit zakat ini macam bom atom. Kalau kita salah tak tahu guna sebetulnya, dia akan meletup dan akan menghancurkan diri kita,” katanya.
Beliau juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang menyalahgunakan wang agihan zakat.
“Sekali lagi saya mengingatkan diri saya, semua pengurusan Majlis Agama Islam, pusat-pusat zakat dan amil zakat yang mengutip zakat, pastikan ia diagihkan dengan amanah kepada mereka yang berhak,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bersama negeri-negeri akan memastikan amanah pemberian duit zakat diagihkan, disimpan dan dikawal mengikut tatakelola yang ketat.-BH Online