KUALA LUMPUR: Elaun tugas atas panggilan bagi pegawai perubatan serta pergigian akan dinaikkan antara RM55 hingga RM65.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ketika Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, kerajaan bersetuju supaya elaun tugas atas panggilan secara aktif dan pasif bagi pegawai perubatan serta pegawai pergigian dinaikkan.
Beliau berkata, kenaikan elaun itu akan dilaksanakan secara bersasar mengikut bidang perkhidmatan dan jabatan tertentu.
“Selaras dengan cadangan agensi Pusat, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan projek rintis sekurang-kurangnya tiga bulan membabitkan fasiliti hospital dan klinik kesihatan yang dikenal pasti.
“Hasil pelaksanaan ini akan dikemukakan kepada agensi Pusat untuk peluasan pelaksanaan ke seluruh negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Kapten Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) adakah pihak KKM merancang untuk menilai semula kadar bayaran kerja ke atas petugas yang menerima panggilan aktif atau pasif yang kini didapati amat rendah, berbanding tugasan berat yang dipikul oleh anggota kesihatan.-BH Online