Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Sistem tempahan secara dalam talian untuk acara berskala besar di stadium utama sedang dibangunkan bagi mengatasi masalah kesukaran membuat tempahan penganjuran acara.

Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh berkata, kementeriannya melalui Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) melihat transformasi kepada aspek pendigitalan sebagai jalan terbaik bagi menangani isu berkenaan. 

“Soalnya sekarang bagaimana untuk penuhi kehendak promoter konsert. Saya rasa jawapannya adalah pendigitalan. Tahun lepas, mulai 15 Jun, PSM melaksanakan tempahan dan bayaran dalam talian bagi fasiliti rekreasi dan sukan. 

“Pada masa ini, PSM sedang bangunkan sistem tempahan untuk acara berskala besar di stadium utama dan ia dijangka akan mula dilaksanakan pada 2025. Ini berikutan tempahan secara manual (berdepan isu) antaranya disifatkan kurang telus.

“Dalam perbincangan saya dengan operator konsert, 16 syarikat menyatakan mereka mahu buat lebih banyak tempahan tetapi diberitahu sudah penuh dan tidak tahu pihak mana yang buat tempahan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai langkah diambil PSM untuk menampung permintaan tinggi bagi penganjuran konsert khususnya di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Mengulas lanjut, Hannah berkata, penganjuran konsert memberikan hasil kepada negara empat kali ganda lebih tinggi berbanding acara sukan dengan mencecah RM10.647 juta.

“Sehingga Oktober tahun ini, RM2.147 juta hasil sewaan venue direkodkan membabitkan penganjuran sukan di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).

“Bagi tempoh sama, sebanyak 54 penganjuran acara bukan sukan direkodkan membabitkan kutipan sewaan venue RM8.5 juta iaitu empat kali ganda berbanding penganjuran acara sukan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kutipan hasil sewaan venue adalah RM10.647 juta dengan hasil tahun ini paling tinggi pernah direkodkan KLSC,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai usaha menambah baik padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Hannah berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk menangani isu banjir.

“Semasa saya masuk (KBS) pada 2022, ada isu banjir di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia sudah diselesaikan dan tak berlaku lagi.

“Selain itu kita sudah tukar rumput dan menukar kontraktor bagi memastikan penyelenggaraan lebih baik malah, saya turut berbincang dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengenai usaha ke depan. 

“Buat masa ini kita melihat kepada rumput hibrid dan menyediakan dua tapak semaian baru untuk memastikan sumber rumput mencukupi,” katanya.-Harian Metro Online