CHERAS: Kerajaan akan menamatkan sepenuhnya perkhidmatan dan penggunaan tenaga gas asli (NGV) di negara ini bermula 1 Julai 2025 atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di atas jalan raya.
Beliau berkata, selain itu, PETRONAS yang menjadi penyedia tunggal NGV juga akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat.
“Bagi memastikan peralihan yang lancar, kerajaan turut memberikan program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV kepada pengguna yang layak.
“Semua keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober 2024 berkaitan dengan hala tuju penggunaan bahan api gas asli mampat atau NGV bagi kenderaan motor di Malaysia,” katanya ketika sidang media khas NGV di sini hari ini.
Ketika ini, terdapat dua kategori kenderaan motor yangmenggunakan bahan api NGV iaitu kenderaan dikuasakan petrol yang diubah suai dengan kit/komponen bagi penambahan penggunaan bahan api NGV (dual-fuel).
Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lebih daripada 95 peratus daripada kenderaan NGV berdaftar adalah kenderaan dalam kategori itu.
Kategori kedua adalah kenderaan import khusus menggunakan NGV sahaja (monofuel).
Daripada dua kumpulan kenderaan di atas, terdapat kira-kira 44,383 kenderaan aktif yang berdaftar dengan bahan api NGV di dalam rekod JPJ bagi tempoh tiga tahun.
Ia membabitkan 9,509 teksi dan kereta sewa pandu; 32,137 kenderaan pendaftaran persendirian; 2,150 bas dan lori; dan 587 unit kenderaan/jentera.
Berdasarkan kepada data di atas, jumlah kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV adalah amat kecil berbanding populasi keseluruhan kenderaan motor berdaftar di Malaysia, iaitu 0.2 peratus daripada
jumlah keseluruhan kenderaan motor (selain motosikal).
Loke berkata, keputusan terbabit diambil berdasarkan kepada asas pertimbangan keselamatan kepada pengguna terutamanya pemilik kenderaan yang dikuasakan dengan NGV.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah di antara 1995 sehingga 2014.
Tempoh itu, katanya, memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan yang terbabit kini berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti.
“Tangki NGV ini mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun dan sekiranya tidak diganti ia tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja yang boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat.
“Selain itu, terdapat segelintir pengguna yang melaksanakan ubah suai kenderaan dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG) yang berbahaya danmendatangkan risiko kemalangan dan letupan.
“Penggantian menggunakan komponen-komponen tulen pula akan memakan kos yang tinggi sehingga boleh melebihi RM7,000 bagi satu kenderaan.
“Menyukarkan lagi keadaan, alat ganti NGV terutama tangki tulen sama ada sudah tiada lagi atau sukar diperoleh di pasaran tempatan.
“Dalam hal ini, melalui pemerhatian dan maklum balas yang diterima, terdapat pemilik kenderaan yang menggunakan alat ganti daripada tangki yang digunakan atau pengubahsuaian tidak diiktiraf, termasuk menggunakan tangki gas LPG.
“Semua perkara ini akan akhirnya mendatangkan risiko keselamatan, kecederaan atau kematian kepada semua pengguna atau pemilik kenderaan terbabit,” katanya.-BH Online