BEIJING: China mahu memperkukuh serta memperluaskan kerjasama dengan Malaysia menerusi pemindahan teknologi dan pengetahuan melangkaui pendekatan berasaskan pelaburan semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, ia adalah antara perkara diberi penekanan dalam pertemuan dengan rakan sejawat dari China, Ding Xuexiang, khususnya dalam usaha memperluaskan kerjasama strategik pada peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.
Katanya, kerjasama itu bukan saja membabitkan pelaburan oleh syarikat China di Malaysia, tetapi juga merangkumi pemindahan teknologi melalui kerjasama dua hala, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sektor kenderaan elektrik (EV).
“Beliau (Xuexiang) turut mencadangkan beberapa perkara baharu yang harus diterima Malaysia, dengan hasrat China bukan saja memindahkan teknologi tetapi juga pengetahuan yang pada hemat saya sangat dialu-alukan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke China, mengadakan kunjungan hormat ke atas Xuexiang selama kira-kira 30 minit di Dewan Besar Rakyat, di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, China turut menyatakan kesediaan meneliti pembiayaan melalui Exim Bank China bagi projek penting di Malaysia yang berimpak tinggi terhadap ekonomi negara.
Katanya, langkah itu membuka ruang untuk meneliti kemungkinan pembiayaan bagi projek lain selain ECRL, yang membabitkan pelaburan besar serta pinjaman dengan jaminan kerajaan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memperincikan projek baharu yang dibincangkan, sebaliknya menyerahkan pengumuman perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila tiba masanya.
“Ada beberapa projek yang telah dibincangkan. Apabila tiba masanya nanti, biarlah Perdana Menteri sendiri yang membuat pengumuman.
“Ada dua perkara (projek) yang pada hemat saya sangat besar dan harus dihubung atau dimaklumkan oleh Perdana Menteri sendiri mengenainya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, hasil perbincangan dengan Xuexiang akan dibawa kepada pengetahuan Anwar untuk maklumat dan pertimbangan, selain dibincangkan dengan Menteri Luar bagi tindakan susulan.
Beliau berkata, pertemuan itu turut menyentuh kerjasama pelbagai hala, termasuk sokongan China terhadap usaha Malaysia menjadi anggota penuh BRICS serta harapan Beijing agar Malaysia terus memainkan peranan merapatkan hubungan China dengan negara ASEAN. -BH Online
