KUALA LUMPUR: Laporan awal berhubung nahas helikopter di Long Lellang yang mengorbankan seorang juruterbang dan empat petugas perubatan pada 8 September lalu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (PH-Seremban), berkata laporan akhir berhubung insiden di Ulu Baram itu akan disiapkan dalam tempoh setahun.
“Penemuan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mengesahkan juruterbang memiliki lesen penerbangan dan sijil perubatan yang sah serta berkelayakan sepenuhnya untuk mengendalikan penerbangan berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Loke menjawab soalan Datuk Seri Dr Richard Rapu (GPS-Betong) yang meminta tarikh audit keselamatan terkini, audit pengawasan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Tambahnya, helikopter itu memiliki Sijil Pendaftaran dan Sijil Kelayakan Udara yang sah dan disahkan layak terbang sebelum berlepas.
Katanya, punca kemalangan memerlukan siasatan terperinci dan laporan teknikal sebelum hasil penemuan secara muktamad dapat diberikan.
“Setakat ini kita hanya dapat memberikan fakta-fakta berkenaan apa yang berlaku.
“Hasil penemuan secara muktamad memerlukan laporan terakhir yang dilakukan oleh pihak penyiasat,” katanya.
Loke berkata, sebelum insiden berkenaan itu CAAM sudah melaksanakan audit pengawasan ke atas organisasi penyelenggaraan Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd pada 1 hingga 4 September lalu dengan aktiviti susulan dan penutupan audit diselesaikan pada 6 September lalu.
Katanya, audit tahunan itu bagi membolehkan CAAM mempertimbangkan permohonan syarikat berkenaan untuk memperbaharui Kelulusan Organisasi Penyelenggaraan.
“Semua penemuan audit ditutup kecuali satu penemuan berkaitan dengan penyeragaman pengiraan tenaga kerja yang masih menunggu proses pengesahan akhir oleh CAAM pada tarikh kemalangan.
“Penemuan itu bersifat organisasi dan tidak berkaitan secara langsung dengan keadaan teknikal pesawat 9M-LLF atau sistem pesawat yang terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Pada 8 September lalu, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Alexson Adit Henry, Debra Moset, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Jessie Paya Jok dan Kapten Zainol Afiq Bee Sham. -BH Online
