ISKANDAR PUTERI: Sebanyak RM10 juta daripada keseluruhan peruntukan bagi pembangunan e-sukan menerusi Belanjawan 2025 akan digunakan untuk membina stadium khusus dalam bidang sukan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata baki peruntukan itu pula akan digunakan untuk latihan dan aktiviti lain berkaitan e-sukan.
“Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pada 18 Oktober lalu dalam ucapan Belanjawan 2025, beliau telah umumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan termasuk pembangunan bakat dan naik taraf arena e-sukan untuk tahun hadapan.
“Daripada jumlah itu, RM10 juta akan digunakan untuk bangunkan stadium khusus bagi e-sukan ini manakala bakinya adalah untuk latihan dan juga lain-lain aktiviti yang berkaitan dengan e-sukan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri saingan peringkat akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity di sini, hari ini.
Kira-kira 2,000 peminat sukan itu hadir menyaksikan perlawanan akhir berkenaan antara pasukan Selangor Red Giants (SRG) dan Vamos (VMS).
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Ahmad Zahid berkata bidang e-sukan harus digalakkan kerana ia bukan sahaja dilihat sebagai satu sukan ‘indoor’ semata-mata, sebaliknya boleh menjana pendapatan di masa akan datang.
“Ekosistem e-sukan semakin berkembang dan semua pihak perlu memanfaatkan potensi besar dalam industri ini yang mana pendapatannya dijangka berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 12.6 peratus, meningkat daripada RM26.4 juta pada 2024 kepada RM54.5 juta menjelang 2030,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata beliau melihat potensi besar dalam e-sukan di negara ini yang boleh dikembangkan melalui program khas TVET untuk menggilap bakat belia tempatan.
Katanya, ia termasuk kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas e-sukan, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja teknikal.
“Sebagai contoh, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) telah menubuhkan TVET yang khusus untuk bidang e-sukan.
“Usaha ini adalah bagi melatih pelajar TVET dalam bidang e-sukan ini dan mereka juga buat kursus untuk pencipta kandungan iaitu untuk membuat beberapa kandungan perlawanan mengikut versi Malaysia.
“Di samping itu juga, mereka sedang membina stadium yang khusus untuk e-sukan ini,” katanya.
Ahmad Zahid turut berharap Johor menjadi negeri seterusnya yang mengikut jejak Sarawak dalam pembangunan bidang e-sukan.-BH Online