KUALA LUMPUR: Negara wajar menonjolkan setiap pencapaian diraih usahawan muda dalam usaha menyemarakkan lagi budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan itu antara lain mampu mewujudkan ekosistem positif yang bukan hanya memberi impak kepada pencapaian individu, sebaliknya turut menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata, platform sedemikian juga mampu menggalakkan golongan belia, sekali gus membangkitkan dedikasi serta wawasan untuk mencipta kejayaan.
“Kerajaan komited dan memberi sokongan penuh kepada inisiatif yang memainkan peranan penting dalam memupuk budaya keusahawanan, memacu pertumbuhan serta mengukuhkan ekonomi negara.
“Kisah kejayaan mereka (usahawan muda) menyemarakkan inspirasi dan menjadi peringatan mengenai potensi tanpa batas yang ada dalam diri belia kita.
“Anda (usahawan muda) bukan sekadar usahawan, sebaliknya juga muncul sebagai pencetus idea, pemangkin perubahan dan memacu negara ke arah masa depan yang menjanjikan.
“Setiap daripada anda melambangkan kekuatan yang terhasil daripada dedikasi, ketahanan dan kepintaran,” katanya dalam ucaptama Majlis Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh di sini, malam ini.
Majlis itu disempurnakan Penaung Diraja Akademi Badminton Roslin Hashim merangkap Tokoh Dang Merdu Warti, Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A’fifullah.
Sementara itu, Fadillah berkata, kerajaan menyokong sebarang inisiatif bagi mengiktiraf sumbangan usahawan muda, selain mengakui keusahawanan adalah pemacu penting untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial.
Justeru, katanya, kerajaan komited mewujudkan persekitaran kondusif supaya usahawan muda boleh berkembang, berinovasi dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan memainkan peranan penting dalam memberi motivasi kepada lebih ramai belia di negara ini untuk maju, mengambil risiko dan mencapai aspirasi keusahawanan.
“Ia bukan sekadar kejayaan, tetapi membina ekonomi kukuh dan mampan untuk manfaat semua lapisan masyarakat.
“Saya menyeru semua calon untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan. Anda perlu lebih kreatif untuk menggunakan cabaran sebagai peluang, belajar daripada kegagalan dan tidak teragak-agak untuk mendapatkan sokongan.
“Saya yakin kita mampu membina ekosistem keusahawanan kukuh yang memupuk kerjasama, inovasi, dan ketahanan jika bersama-sama menggembleng usaha ke arah berkenaan,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu.-BH Online