Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi, dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, berkata siasatan terperinci terhadap kes itu sedang dilaksanakan pihaknya.

“ATM memandang serius isu sebegini dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes itu,” katanya ringkas ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, ATM dalam satu kenyataan memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM dipercayai menjadi mangsa buli serta dera oleh seniornya dengan menekap seterika pada bahagian dada mangsa sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.

Menurut kenyataan itu, kes berkenaan sedang disiasat pada peringkat ALK–UPNM. – BERNAMA