BATU KAWAN: Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama rapat dengan pihak industri sebagai usaha intervensi meningkatkan jumlah pelajar termasuk di sekolah teknik dan Kolej Vokasional (KV) mengambil bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata hingga ini, nisbah 60:40 yang ditetapkan kementerian antara pelajar STEM dan sastera atau sains sosial masih belum dicapai.
Malah, katanya sasaran itu masih rendah.
Susulan jumlah pelajar yang mengikuti bidang STEM semakin berkurang, kementerian perlu melakukan intervensi di bawah agenda reformasi pendidikan dengan memberikan tumpuan dalam segala aspek untuk mencapai sasaran ditetapkan.
“Hal ini (intervensi) adalah bagi memastikan peningkatan berlaku dengan lebih baik lagi khususnya dalam konteks STEM yang (dalam intervensi terbabit) kita (KPM) memberikan tumpuan kepada segmen-segmen (pendidikan STEM).
“Ia termasuk (perihal) anak-anak (pelajar) kita mesti juga dibantu oleh kaunselor terlatih untuk memastikan mereka mendapat sokongan sepenuhnya ketika memilih jurusan STEM itu,” katanya selepas selesai sesi Forum Jaringan Industri ke Arah Kemampanan TVET KPM di Auditorium Kolej Vitrox, hari ini.
Terdahulu, Fadhlina yang mengendalikan forum berkenaan selama satu jam membincangkan potensi pelajar TVET di bawah KPM melalui jaringan dan kerjasama dengan pihak industri.
Fadhlina berkata, Pulau Pinang hanya mencapai 52 peratus pelajar yang memilih STEM meskipun negeri itu dikenali sebagai hab industri teknologi tinggi serta ekosistem kukuh bagi membangunkan bidang berkenaan.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM juga akan memperluaskan rakan sinergi dalam usaha memperkasakan pendidikan TVET.
“Dalam era teknologi semakin berkembang pesat dengan teknologi dan kepakaran tertentu memerlukan kita mengetahui keperluan industri dari semasa ke semasa.
“Ini termasuk mengenai keperluan guru kita untuk menguasai ilmu kemahiran di peringkat industri supaya mereka seiring dan dapat menyampaikan pengajaran itu dengan lebih baik dalam persiapan serta persediaan untuk anak-anak murid kita,” katanya.-BH Online