Kuching: Kajian khusus akan dijalankan bagi mengenal pasti kebolehlaksa naan penjanaan tenaga dari haba lautan di Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, hasil kajian itu akan memastikan proses penukaran tenaga haba lautan (OTEC) menjadi satu lagi sumber tenaga hijau.
“Selain gas, hidro dan solar ada lagi sumber lain boleh dimanfaatkan untuk menjana tenaga hijau di Sarawak.
“Saya mahu Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki) serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk menjalankan kajian iaitu mengenai potensi haba lautan untuk menghasilkan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-85 Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di sini, malam tadi.
Majlis itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Abang Johari berkata, beliau berharap penyelidikan itu berjaya kerana menjadi hasrat Sarawak untuk mempelbagaikan sumber tenaga hijau.
“Ini adalah sumber baharu dan jika penyelidikan itu berjaya, maka Sarawak akan mempunyai lebih banyak sumber tenaga hijau,” katanya.-Harian Metro Online