Putrajaya: Jemaah Menteri bersetuju secara dasar untuk meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi menangani isu buli siber.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, rang undang-undang (RUU) berkaitan pindaan itu akan dibawa ke mesyuarat Parlimen kali ini.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini meluluskan secara dasar siri pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan isu buli siber.
“Selain itu, (kerajaan juga bersetuju membawa) satu undang-undang yang dinamakan RUU Keselamatan Dalam Talian atau ‘Online Safety Act’,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Fahmi berkata, dapatan daripada kajian oleh kerajaan menunjukkan tiada takrifan tepat bagi jenayah buli termasuk buli siber.
Menurutnya, berikutan itu, pindaan yang akan dilaksanakan bertujuan menutup kelompongan undang-undang atau lebih dikenali ‘lacuna in the law’.
“Secara ringkasnya, pindaan kepada undang-undang ini bertujuan memastikan bahawa keseluruhan internet kita menjadi lebih selamat terutama untuk kanak kanak dan keluarga.
“Saya tegaskan secara keseluruhan, ini adalah langkah yang perlu kita ambil untuk menutup kelompongan (dalam undang-undang), untuk kita mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang (melakukan) buli siber,” katanya.-Harian Metro Online