Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dalam negara sentiasa menjadi tonggak dasar kerajaan MADANI dengan tumpuan itu diselaraskan dalam semua bentuk pelaksanaan kerajaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata sebagai contoh peruntukan perbelanjaan dalam pembangunan diberikan lebih kepada kawasan yang kurang membangun, selain jumlah penerima dalam program peningkatan pendapatan keluarga, basmi kemiskinan atau bantuan tunai turut diberikan lebih kepada penerima di kawasan berkenaan.

Rafizi berkata, melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan dibentangkan pada suku ketiga tahun depan, kerajaan mahu memastikan penilaian dan perangkaan dasar itu tidak dilihat daripada perspektif makro semata-mata dalam kalangan pemegang taruh pembuat dasar, tetapi turut membabitkan penerima bantuan serta program.

“Kita mahu mendengar sendiri daripada kumpulan penerima… contohnya nelayan, mahasiswa atau anak muda di luar bandar untuk membangunkan bentuk program yang betul-betul berkesan dan tiada ketirisan.

“Justeru, melalui Jelajah MADANI Mendengar dari September hingga Disember ini, saya harap kita akan mendapat maklumat langsung daripada penerima dan pemegang taruh program, yang akan memberi perspektif makro bagi membolehkan RMK-13 bukan saja betul tapi program pelaksanaannya tepat kepada kekangan dan keperluan penerima,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai strategi kerajaan untuk merapatkan jurang sosial ekonomi antara negeri dan lokaliti, selain mengambil kira taburan wilayah ekonomi bagi aktiviti ekonomi utama, seperti yang disyorkan dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebelum ini.

Menjawab soalan asal Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai mekanisme dan strategi kementerian bagi memastikan program Jelajah MADANI Mendengar menjadi wadah terbaik dan berkesan untuk kerajaan mengumpul input bagi merangka pelan RMK-13, Rafizi berkata semua pandangan dikumpul pada jelajah di seluruh negara itu akan dibincangkan pada pelbagai peringkat perancangan. 

“Idea baharu dan maklum balas diterima akan diperhalusi di bawah kumpulan fokus yang dibentuk. Selain itu, sesi libat urus Parlimen akan diadakan pada Disember ini bagi mendapatkan input dan maklum balas daripada semua Ahli Parlimen,” katanya.

Rafizi berkata, kementerian juga melancarkan portal RMK-13 bagi membolehkan rakyat menyuarakan pandangan dan aspirasi terhadap dasar yang akan dilaksanakan kerajaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.-BH Online