KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 menyaksikan keseluruhan 1,860 penyertaan dalam kalangan penggiat industri kreatif dan penyiaran tempatan, meningkat 17 peratus berbanding 1,585 pada ASA 2022.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata penyertaan itu melibatkan tiga kategori iaitu 1,287 dalam kategori televisyen, 515 kategori radio dan 58 kategori media baharu.
“ASA 2024 mempertandingkan sebanyak 60 kategori merangkumi 40 kategori televisyen, 16 kategori radio dan empat kategori media baharu.
“Buat julung kalinya, ASA 2024 turut memperkenalkan kategori baharu di bawah media baharu iaitu Podcast Terbaik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kira Detik ASA 2024 di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Fahmi berkata ASA 2024 adalah antara inisiatif kerajaan untuk memartabatkan penggiat industri kreatif dan penyiaran tanah air.
Beliau berkata anugerah itu juga merupakan sebentuk pengiktirafan kepada dedikasi, sumbangan dan pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan oleh penggiat industri kreatif penyiaran termasuk petugas di belakang tabir seperti kru penerbitan dan teknikal, pereka, juruhebah serta penyampai.
“Penganjuran anugerah berprestij ini, yang diadakan setiap dua tahun, telah memasuki edisi ke-36 tahun ini sejak mula diperkenalkan pada 1972,” katanya.
Malam kemuncak ASA 2024 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 26 Oktober ini.- BERNAMA