BANGI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada mahasiswa Malaysia direkod melanjutkan pengajian di Lubnan ketika ini.
Perkara itru dimaklumkan Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berdasarkan semakan menerusi pejabat Education Malaysia Jordan.
“Setakat ini kita tidak mempunyai pelajar (dari Malaysia) yang berdaftar (di Jordan). Namun berdasarkan laporan daripada Education Malaysia, tiada pelajar kita di Lubnan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Jelajah Kampus MADANI bersempena Minggu Apresiasi Watan (MAW) Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KPT akan membawa pulang pelajar Malaysia di Lubnan susulan konflik Hezbullah dan Israel di negara itu.
Bagaimanapun, Zambry berkata KPT terus memantau sama ada terdapat mahasiswa Malaysia yang tidak berdaftar dan melanjutkan pengajian di Lubnan.
“Langkah akan terus diambil kerajaan melalui Wisma Putra untuk memastikan rakyat Malaysia sama ada yang belajar secara tidak rasmi melalui madrasah atau sistem persekolahan di sana atau rakyat Malaysia yang berada di sana.
“Saya percaya Wisma Putra mengambil langkah pantas untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan terbabit,” katanya.
Sebelum ini, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata rakyat Malaysia di Lubnan yang belum mendaftar dengan pihak kedutaan disarankan untuk berbuat demikian melalui pautan https://ekonsular.kln.gov.my/.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul agar menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Beirut.-BH Online