Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota jelas menunjukkan rakyat tidak lagi tertipu dengan propaganda bahawa Islam dan Melayu terancam melalui kerjasama kerajaan Perpaduan yang sering dimainkan pembangkang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata malah rakyat juga sudah membuka mata dan tidak lagi terpedaya dengan taktik pembangkang yang sering melaungkan propaganda UMDAP (UMNO-DAP) melalui kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, pengundi juga dilihat muak dengan perbalahan dan persengketaan berorientasikan sentimen agama serta kaum yang sering dimainkan pembangkang sebelum ini.

“Pelbagai hikmah dan pengajaran penting dapat diambil daripada kemenangan berturut-turut ini. Di Nenggiri dan Mahkota iaitu pengundi makin bijaksana dalam membuat pertimbangan.

“Budaya dan pendekatan politik fitnah, adu domba, caci-maki tidak lagi diterima walaupun mudah mencetuskan sentimen dan emosi rakyat.

“Sebaliknya, kempen secara hikmah, tertib dan menyantuni hati pengundi dengan cermat seperti ziarah kasih, sembang santai berkelompok dengan menerangkan agenda kerajaan secara berfakta lebih diterima pengundi,” katanya kepada BH hari ini.

PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mempertahankan kerusi itu apabila calonnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, dengan majoriti 20,648 undi.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, permainan sentimen agama dan kaum tidak lagi relevan sedangkan sifat negara dan Johor secara spesifiknya berteraskan terhadap semangat majmuk dengan meraikan kepelbagaian.

Katanya, pembangkang yang masih bertaut kepada propaganda UMDAP, Islam dan Melayu terancam ternyata tidak dapat bertahan lagi kerana rakyat mula membuka mata apabila UMNO menzahirkan pelbagai agenda pemerkasaan Islam dan Bumiputera tanpa menafikan hak dan kepentingan kaum serta agama lain.

“Contohnya Dasar Tahfiz Negara, Kongres Ekonomi Bumiputera, peruntukan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dinaikkan sekali gus menafikan secara realiti bahawa fitnah dan propaganda terancam itu tidak benar,” katanya.

Dalam konteks sokongan pengundi Cina dan India di Mahkota walaupun peratusan keluar adalah rendah, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi MARA berkata, ia cukup membuktikan formula perpaduan berjaya menangkap imaginasi mereka. 

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan majoriti kemenangan BN boleh melangkaui sekurang-kurangnya 35,000 ribu, jika peratusan pengundi Melayu, Cina dan India yang keluar meningkat.

“Penerimaan pengundi Melayu kepada UMNO juga makin terserlah dengan kembalinya pengundi yang kecewa dan dulunya mengundi Perikatan Nasional (PN).

“Ini dapat dilihat melalui keputusan saluran Melayu yang jauh besar majoriti, berbanding PN dan secara perbandingan dengan keputusan pilihan raya umum lalu. Ini juga berlaku di Nenggiri dan sebelum itu di Pelangai,” katanya.

Beliau berkata, sokongan pengundi muda jelas terbukti apabila semua saluran muda BN menang besar, sekali gus menyerlahkan keberkesanan pendekatan jentera Wanita, Pemuda dan Puteri secara bersepadu dalam mendampingi mereka.

“Disiplin dan penyelarasan gerak kerja jentera tempatan, bahagian dan negeri angkat seluruh Johor selain kerja kuat jentera PH termasuk daripada DAP, AMANAH dan PKR juga antara faktor penting kemenangan,” katanya.-BH Online