Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEW YORK, 29 September- Malaysia komited mengukuhkan peranan blok serantau dan memacu masa depan rantau Asia Pasifik  dalam ASEAN 2025.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan, Malaysia akan mengemudi ASEAN ke arah kesediaan mendepani masa depan.

“Kami akan menekankan pengukuhan aspirasi global; dasar-dasar yang inklusif dan dipacu oleh rakyat serta mekanisme yang berorientasikan masa depan.

“Kami akan berusaha untuk mengukuhkan kepentingan pusat ASEAN di tengah kemunculan pakatan pelbagai hala yang mempengaruhi rantau ini.

“Ini adalah langkah utama untuk mencegah rantau ini daripada terperangkap dalam persaingan geopolitik yang tidak perlu, atau kemungkinan peningkatan konflik,” katanya.

Tambahnya, peranan ASEAN dalam menguruskan ketegangan di Laut China Selatan juga akan menjadi keutamaan di bawah kepimpinan Malaysia menerusi pendekatan kolaboratif, diplomasi dan dialog.

Justeru beliau juga menyeru semua negara untuk mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai undang-undang laut (UNCLOS) 1982 dalam pelaksanaan tadbir urus maritim bagi mengelakkan konflik.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Hassan turut memaklumkan, Malaysia menyeru ke arah meningkatkan penglibatan negara Selatan Global dalam tadbir urus global, pembiayaan pembangunan dan tindakan iklim.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan suara negara-negara membangun tidak boleh lagi diabaikan.

“Negara-negara Selatan Global terus dipinggirkan dan kurangnya perwakilan dalam bidang penting seperti pembangunan sosioekonomi, mitigasi iklim, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

“Mekanisme antarabangsa gagal menyesuaikan diri dengan realiti semasa, sering kali mengasingkan dan menghukum negara-negara membangun, meletakkan beban alam sekitar ke atas mereka sambil mengabaikan keperluan yang sangat nyata.

“Cabaran utama yang dihadapi oleh negara-negara ini adalah kekurangan infrastruktur dan teknologi yang mengehadkan kemampuan mereka untuk terlibat sepenuhnya dalam inisiatif global,” katanya.

Menyentuh mengenai krisis iklim dihadapi dunia ketika ini pula, Datuk Seri Mohamad berkata, kesannya kini sudah merentasi sempadan, mengganggu ekonomi dan memaksa pemindahan komuniti.

Justeru, beliau menyeru untuk membolehkan model pembiayaan inovatif yang menyokong kelestarian, pemuliharaan, dan tindakan iklim, bagi menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 2030.

Tambahnya, usaha nasional sahaja tidak mencukupi dan respons global mesti merangkumi pembiayaan iklim, pemindahan teknologi, dan pengukuhan kapasiti untuk membantu negara-negara membangun.

Malaysia juga mengulangi komitmennya untuk menguatkan perpaduan dalam kalangan negara-negara Selatan Global sambil menekankan bahawa solidariti adalah kunci untuk menangani cabaran bersama.-Berita RTM