Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dua kenderaan Tentera Pengaman PBB Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) diserang oleh sekumpulan orang awam di Lubnan, kelmarin. 

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan menerusi satu kenyataan memaklumkan, dalam kejadian jam 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia) tiga pegawai serta tujuh anggota kelainan pangkat berada dalam dua kenderaan Fitted For Radio (FFR) MALBATT 850-11.

“Semua mereka dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.

“Ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di Bandar Tyre, berlaku kesesakan luar biasa dan ketika itulah, ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulans dan bomba yang melalui dari kedua-dua arah. 

“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua kenderaan MALBATT. Hampir 30 individu membaling batu dan memancitkan semua tayar kenderaan MALBATT menggunakan senjata tajam,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi mengelak kejadian lebih buruk, ketua pergerakan mengarahkan kenderaan berhenti di tepi jalan selamat dan kekal berada dalam kenderaan bagi menanti bantuan.

Katanya, Lebanon Armed Forces (LAF) tiba dilokasi dan berjaya mengawal keadaan seterusnya membantu mengkoordinasi ‘loader’ bagi membawa balik kenderaan dan anggota ke Kem Marakah sebelum tiba pada jam 7.39 malam waktu tempatan (1.39 pagi waktu Malaysia).

“Tiada sebarang kecederaan dialami oleh pegawai dan anggota terbabit.

“Bagaimanapun kedua-dua kenderaan mengalami beberapa kesan kerosakan,” katanya.

MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu yang boleh mencemarkan imej ATM serta Kementerian Pertahanan.

Terdahulu, insiden serangan terhadap kenderaan MALBATT 850-11 oleh orang awam di Lubnan yang berjaya dirakam tular di media sosial.

MALBATT 850-11 turut menyatakan komitmen untuk meneruskan rutin tugasan seperti mandat yang ditetapkan oleh UNIFIL malah semua pihak diminta agar untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu, yang boleh mencemarkan imej ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya.

Semalam, Kementerian Luar dalam satu kenyataan menyebut pihaknya sedang memantau situasi di Lubnan susulan kejadian letupan alat kelui yang berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara itu.

Wisma Putra juga memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas atau terlibat dalam insiden itu.

“Nasihat kepada rakyat Malaysia di Lubnan: Rakyat Malaysia disarankan agar berhati-hati, mengelak daripada mengunjungi bahagian selatan Lubnan dan mendapatkan maklumat terkini melalui sumber berita yang boleh dipercayai,” menurut kenyataan itu.-BH Online