Serdang: Mesyuarat Kabinet hari ini telah membincangkan mengenai kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings khususnya aspek kebajikan, pendidikan dan masa depan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bercakap kepada media selepas melawat Laman Usahawan Desa@MAHA 2024 di sini hari ini, beliau berkata perkara itu menjadi keutamaan kerajaan termasuk menyediakan pendidikan agama kepada mereka.
Untuk tujuan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah memaklumkan akan mewujudkan tempat khusus untuk kanak-kanak dan remaja berkenaan.
Ditanya sama ada kumpulan itu akan diberi peluang dan tempat untuk menyertai program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah KKDW, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan JKM mengenai perkara tersebut.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar), beliau merasakan ada beberapa kursus tertentu yang bersesuaian untuk mereka yang berumur 16 tahun dan ke atas,” katanya.
Ahmad Zahid berkata perkara penting ketika ini adalah memberikan pendidikan agama serta akidah kepada mereka yang selama ini tinggal di rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings.
Mohd Na’im baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan akan memastikan wanita dan kanak-kanak yang diselamatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam beberapa siri Op Global ke atas beberapa rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings, mendapat pembelaan dari aspek kebajikan, pendidikan dan hala tuju.
Media melaporkan polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun dari 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan dalam operasi itu.-BH Online