Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedia membawa cadangan supaya dasar pendidikan berkaitan peperiksaan Tahun 6 dan Tingkatan 3 disemak semula dan dirombak susulan wujudnya masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M) ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sini, hari ini sebagai menjawab saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis di Shah Alam semalam.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata perbincangan bersama KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini menyedari isu 3M adalah antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Adapun tentang hasrat beliau (Ahmad Zahid) itu, saya ingat mungkin kita boleh bawa ke peringkat jemaah menteri untuk diputuskan dan dibincangkan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Integriti Kota Kinabalu.

Sambil menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri itu, Fadhlina menjelaskan proses penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara sedang dibuat oleh kementeriannya ketika ini. 

Katanya, kementerian sebelum ini sudah mengumumkan enam agenda reformasi pendidikan negara iaitu Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kejuruteraan dan matematik (STEM), pendidikan digital, pemerkasaan kurikulum sains, teknologi, perluasan dan pengukuhan prasekolah serta pelan pendidikan dan kurikulum prasekolah serta memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

“Kita juga telah melihat persiapan dalam aspek Pelan Pembangunan Pendidikan negara yang baharu berikutan pelan sedia ada akan berakhir pada tahun 2025.

“Begitu juga dengan pelaksanaan kurikukum baharu yang akan berlangsung pada tahun 2027 namun ia akan bermula lebih awal buat pra sekolah pada tahun 2026.

Saya fikir dari aspek tambahbaik, reformasi itu berjalan. Adapun tentang hasrat beliau itu saya ingat mungkin kita boleh bawa ke peringkat jemaah menteri untuk diputuskan dan dibincangkan,” katanya. 

Mengenai isu ketiadaan peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 menjadi indikator masalah pelajar tidak mahir 3M, Fadhlina berkata, kementeriannya sudah menyatakan komitmen tentang perkara itu menerusi pengumuman intervensi kurikulum yang sudah membuahkan hasil. 

“Kita berjaya mengenalpasti seramai 120,000 anak-anak darjah satu yang belum menguatkuasai 3M.

“Dalam aspek itu, isu keciciran ini sudah pun kita tangani dan bakal kita teruskan dengan beberapa program signifikan yabg akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.-BH Online