Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyindir Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan lemah.

“Tidak mengapa, dia (Abdul Hadi) seorang sahaja (yang) kuat,” kata Perdana Menteri ringkas ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Iman Kampung Desa Putra di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ucapan Ahli Parlimen Marang itu pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Pahang, semalam.

Abdul Hadi ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS semalam, mendakwa parti dominasi kaum Melayu dalam Kerajaan Perpaduan tidak berwibawa untuk menangani rakan mereka yang bukan Islam dalam isu sijil halal.

null

Beliau berkata, kebanyakan parti dalam kerajaan yang berpandukan kepada Melayu dan Islam, masih gagal mempertahankan perkara membabitkan kesucian agama Islam daripada dicampuri masyarakat bukan Islam. 

Malah, beliau menyeru parti yang menyertai Kerajaan Perpaduan supaya tidak terus bersekongkol dengan kepincangan pemimpin bukan Islam yang mempersoalkan isu berkaitan agama rasmi negara. 

Terdahulu, Perdana Menteri diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menunaikan solat bersama kira-kira 1,000 jemaah di masjid berkenaan. 

Beliau yang lengkap berbaju Melayu warna biru turut mendengar khutbah bertajuk ”Mencintai Rasulullah SAW’ yang disampaikan Ustaz Bilal Kamarudin.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah sebelum beredar.-BH Online