KUALA LUMPUR: Program Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 (MBP) anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melabuhkan tirai dengan penuh kejayaan apabila hampir 3,500 pengunjung dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hadir di tiga kem tentera di selatan Malaysia.
Program tiga hari yang dianjurkan antara 2 September hingga 6 September itu menjadi landasan utama bagi LTAT menyantuni dan meningkatkan keterlibatannya dengan warga ATM di Kem Syed Sirajuddin, Gemas; Kem Terendak, Melaka, dan Kem Mahkota Kluang, Johor.
MBP 2024 menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan platform bual bicara yang memberi penekanan kepada faedah-faedah yang disediakan oleh LTAT kepada pencarum, pendedahan berhubung pengurusan kewangan yang mampan, serta peluncuran Laporan Pencarum LTAT 2023.
Memasuki tahun kedua penganjuran, MBP dinaik taraf bagi memastikan peningkatan ke- fahaman anggota ATM terhadap kesejahteraan dan perlindungan sosioekonomi semasa perkhidmatan dan persaraan.
Hadir melawat jerayawara MBP adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak serta barisan kepemimpinan tertinggi ATM.
Pada program berkenaan, turut dianjurkan slot Inspirasi Veteran ATM yang menampilkan usahawan berjaya dalam kalangan veteran serta slot Laman Bicara yang menampilkan personaliti terkenal bagi berkongsi tip kejayaan.
Veteran, Mohd Fais Hussein yang mengikuti Program Minggu Bersama Pencarum, berkata program itu meningkatkan kesedaran pencarum LTAT apa kebaikan pencarum.
“Ia juga memberi peluang kepada pencarum dan sebagai platform untuk berinteraksi secara langsung dan bertanya apa yang perlu. Bagi saya program ini juga sebagai penghargaan LTAT ke- pada pencarum,” katanya.
Veteran, Amir Ismail pula berpendapat, program Bual Bicara diadakan sangat bagus kerana dapat memberi pendedahan kepada anggota tentera yang sedang berkhidmat sebagai panduan untuk mempersiapkan diri selepas mereka bersara nanti.
Kemuncak program adalah perkongsian daripada Mohamed Khaled dan Adly berhubung pandangan mereka terhadap masa depan keselamatan negara dan kebajikan anggota ATM menerusi Slot Bicara.
Adly pada Slot Bicara sempena Program Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera
Dalam pada itu, MBP 2024 turut diserikan dengan aktiviti BH Petrol Titan Challenge yang menyediakan cabaran fizikal dan mental kepada warga ATM yang hadir.
Ia juga disertai anak syarikat dan syarikat bersekutu LTAT turut menyertai program ini dengan menyediakan reruai untuk warga ATM antaranya, Boustead Holdings Berhad, Boustead Plantations Berhad, BH Petrol, Affin Bank Berhad, IRAT, AHAM Asset Management, Pharmaniaga Berhad dan lain-lain.
Salur sumbangan kebajikan
Sementara itu, pada program sama, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) juga turut menyampaikan sumbangan chromebook, yang ditaja oleh BHPetrol kepada anak-anak warga ATM yang menduduki SPM pada tahun ini.
Program dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membabitkan seramai 969 anak-anak warga ATM calon SPM 2024 yang bersekolah di luar kem seluruh negara untuk mengikuti program rintis tuisyen dalam talian, e-Perkasa SPM dengan menggunakan chromebook tersebut.
Selain itu, sumbangan kebajikan turut dipanjangkan kepada anggota ATM dan keluarga mereka yang menghidap penyakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) yang mana ia mencerminkan keprihatinan kementerian serta bertujuan untuk meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh keluarga yang terlibat.
Program ini juga diserikan dengan acara cabutan bertuah khas sebagai tanda penghargaan LTAT kepada warga ATM yang menawarkan pelbagai hadiah menarik antaranya motosikal, perkakasan elektrik serta wang simpanan bank.
Peluncuran Laporan Pencarum 2023
Pada program itu, LTAT turut meluncurkan Laporan Pencarum 2023 iaitu laporan komprehensif yang julung kali diterbitkan bertujuan untuk membantu anggota ATM memahami dengan lebih baik peranan dan tanggungjawab LTAT.
Laporan itu juga menekankan faedah yang disediakan oleh LTAT, serta memperlihatkan komitmen LTAT dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan sosioekonomi warga ATM dan peranannya dalam menyokong pembangunan ekonomi Malaysia, selaras dengan inisiatif Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Program ini turut mengetengahkan kepentingan literasi kewangan dalam kalangan warga ATM, bagi memberi kesedaran dan membantu warga tentera untuk menguruskan kewangan mereka dengan bijak, lantas memperkukuhkan perlindungan sosial mereka selepas persaraan.
Mohamed Khaled, menegaskan Kementerian Pertahanan komited untuk melindungi kesejahteraan sosioekonomi dan perlindungan sosial anggota ATM selepas perkhidmatan mereka.
Sokongan penuh kementerian terhadap LTAT
“Saya juga akan terus mendukung usaha LTAT dalam memastikan simpanan persaraan anggota ATM terus berkembang dengan mampan, demi kehidupan persaraan yang selesa dan terjamin,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut yakin dengan keupayaan LTAT yang kini dilihat stabil dan baik.
“Insya-Allah, dengan kepemimpinan baharu, LTAT berada dalam tangan yang sewajarnya. Sama-samalah kita beri sokongan, jangan terpengaruh dengan apa yang orang cakap bukan-bukan, Insya-Allah,” katanya turut memberitahu LTAT akan mula lakukan beberapa transformasi untuk lebih mantap.
Sementara, Adly berkata, LTAT bukan sahaja berfungsi menyimpan tetapi turut membuat pelaburan yang dipulangkan balik kepada anggotanya.
“Saya lihat LTAT juga banyak memberikan tumpuan kepada pendidikan. Saya fikir ini juga antara aspek yang cukup penting kerana selain melihat dunia persaraan anggota kita, kejayaan anak-anak dalam keluarga adalah aspek perlu diutamakan,” katanya.
Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi turut menyampaikan penghargaan kepada anggota ATM, pencarum yang juga pemegang taruh utama LTAT atas sokongan dan kepercayaan berterusan.
“Penghargaan khusus kami sampaikan kepada Tentera Darat Malaysia yang berganding bahu bersama LTAT dalam menjayakan program ini. Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, selaras dengan usaha kami untuk memberikan perkhidmatan dan pulangan yang terbaik.
“LTAT kekal komited dalam menjalankan amanah ini, Demi Wira Kami,” katanya.-BH Online