Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kenyataan Naib Presiden DAP itu antara lain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

“Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita.

“Ada masalah… peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok,” katanya ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hadir sama, Setiausaha kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Pengerusi Lembaga Lebuhraya, Datuk Seri Hasni Mohammad; Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.

Kelmarin, Teres dipetik berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

“Kalau dia mahu mewakili beberapa pihak, tidak mengapa… tetapi tidak perlu (buat kenyataan sedemikian secara terbuka) kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

“Kita kena jaga sentimen muslim dan bukan Islam. Cara dia (adalah) runding secara elok dahulu. Bukan tunjuk kehebatan masing-masing.

“Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi naik (justeru) perlu apa perkara ini nak merosakkan (keharmonian dan kesejahteraan negara),” katanya.-BH Online