Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah mengadakan Sesi Dialog Belanjawan 2025 hari ini, yang mengumpulkan lebih 1,000 wakil daripada pelbagai pihak berkepentingan dan pemain industri dari seluruh negara.
Sesi dialog itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini Ahmad Zahid berkata beliau sentiasa ingin mendengar pandangan dan cadangan daripada pemegang taruh yang berkaitan sebelum belanjawan negara dibentangkan.
Beliau berkata ia sekali gus bagi membantu pasukan Belanjawan Kementerian Kewangan memantapkan lagi penyediaan Ucapan Belanjawan 2025, agar lebih inklusif.
“Saya gembira melihat bagaimana teknologi digunakan dengan sebaiknya dalam sesi dialog ini, yang membabitkan pelbagai pemegang taruh dari seluruh negara. Kehadiran merangkumi wakil persatuan perniagaan, dewan koperasi, usahawan, badan bukan kerajaan, ahli akademik, pelajar, wakil komuniti, anak syarikat serta agensi-agensi kerajaan dan ketua-ketua jabatan di bawah KKDW,” katanya.
Ahmad Zahid berkata sesi yang dijalankan secara fizikal dan juga dalam talian itu menunjukkan bahawa seluruh rakyat terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dalam membabitkan semua pihak dengan lebih mudah dan efisien.
“Sepanjang sesi dialog ini berlangsung, saya mendengar dan meneliti setiap pandangan dan cadangan yang dikemukakan, segala input yang diterima akan diserahkan kepada Pasukan Belanjawan Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Oktober nanti.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang berkongsikan pandangan dan cadangan. Semoga usaha kita hari ini membuahkan hasil dalam memastikan Belanjawan 2025 yang lebih inklusif serta dapat memenuhi keperluan sebenar rakyat di seluruh negara khususnya warga desa yang kita santuni,” katanya.-Harian Metro Online