Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TANAH MERAH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan peningkatan trend jenayah rentas sempadan terutama pemerdagangan manusia membabitkan rakyat negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Thailand dan Myanmar adalah antara negara sempadan yang banyak merekodkan kes berkenaan.

Katanya, KDN mendapati ada rakyat Malaysia yang sudah diselamatkan manakala ada yang dalam proses diselamatkan.

“Ada yang sudah dibawa pulang tetapi kemudiannya mereka pergi lagi. Ada yang pergi sendiri tanpa kena tipu oleh mana-mana sindiket semata-mata untuk berjudi tetapi akhirnya tidak dapat balik.

“Bila tidak boleh balik, mereka minta bantuan kita untuk dibawa pulang dan kita tetap selamatkan mereka. Begitu sekali Malaysia membantu rakyatnya.

“Trend ini dikesan meningkat dengan sebahagian besarnya membabitkan Thailand dan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Saifuddin Nasution berkata, jenayah rentas sempadan adalah antara isu dibincang pada Persidangan Menteri ASEAN di Laos, minggu lalu.

Selain pemerdagangan manusia, katanya, isu berkaitan pengedaran dadah dan senjata api rentas sempadan turut dibangkitkan.- BH Online