Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan sedang mendapatkan laporan lengkap daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung pesawat MH66 yang terpaksa berpatah balik ketika dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata beliau sendiri sudah berhubung dengan syarikat penerbangan terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai insiden itu.

“Saya sudah berhubung dengan mereka (MAB), jadi kita tunggu laporan lengkap berkenaan dengan masalah teknikal terbabit.

“Saya sudah meminta pihak MAB untuk membuat kenyataan berkenaan perkara itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) ke Seoul terpaksa berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, dipercayai akibat mengalami masalah teknikal.

FlightRadar menunjukkan pesawat penerbangan MH66 berlepas dari KLIA ke Seoul pada jam 11.50 malam.

Menurut penjejak penerbangan global itu, pesawat Airbus A330-323 tersebut berpatah balik dan mendarat dengan selamat di KLIA pada jam 12.34 pagi.

MAB dalam kenyataannya hari ini mengesahkan pesawat berkenaan berpatah balik sebagai tindakan berjaga-jaga susulan masalah teknikal berkaitan sistem hidraulik.

Penerbangan ke Incheon dijadualkan semula untuk beroperasi sebagai MH66D dan dijadual berlepas jam 8 malam ini.-BH Online