PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya langkah ‘reform’ yang dirancang dalam pentadbiran awam dilaksanakan dengan segera bagi memastikan semua usaha dapat berjalan dengan lebih berkesan.
Mengakui masih ada yang belum memuaskan, Perdana Menteri berkata, beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengenai langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki prestasi.
“Penggabungan agensi dan jabatan, itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan, kadang-kadang yang kurang perlu itu masih belum ditingkat yang memuaskan.
“Laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah, ketua unit mengenai kelembapan, kecuaian beberapa pegawai, itu pun belum di tahap memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Shamsul Azri dan Wan Ahmad Dahlan.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Shamsul Azri serta Wan Ahmad Dahlan.
Anwar berkata, semua perubahan itu harus dilakukan segera supaya anjakan ke arah lebih baik dapat dilaksanakan sebaiknya.
Jelasnya, ia kerana MADANI menuntut semua perkhidmatan awam melihat kepada kerangka lebih besar termasuk tumpuan terhadap tatakelola, pemacuan pertumbuhan ekonomi dan keselesaan rakyat.
“Ini kalau saudara lihat umpamanya masalah rakyat, kecepatan kita menjawab surat tuntutan mereka sama ada boleh tak boleh, langkah prosedur mereka harus patuhi, itu semua harus kita cari kaedah baharu.
“Saya selalu menganggap tahap kecepatan, kepantasan melakukan perubahan itu harus setimpal dengan tuntutan zaman dan masa,” katanya.
Beliau berkata, semua penjawat awam perlu melakukan yang terbaik membawa perubahan ke arah kebaikan dan tidak sekadar kekal di tahap sederhana.
“Kalau kita kata tahap kecekapan, hasil baik tetapi adakah itu maksimum atau boleh diperbaiki? Tahap kecekapan naik daripada 70 sampai 85 peratus, mengapa tidak 95 peratus?
“Kaedah fahaman kita dalam tuntutan Islam itu sendiri, ia tidak pernah mahu manusia itu kekal pada tahap yang sederhana kerana umat yang sederhana, seimbang, bukan bermakna ‘average’, sederhana itu sikap tidak keras, tidak melampau, tidak menghukum, tetapi kesederhanaan itu menuntut yang terbaik,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan, penjawat awam boleh menjangkakan September ini sebagai bulan pergerakan serta ‘reform’ lebih besar.
PM minta penjawat awam beri kerjasama KSN baharu
Sementara itu, Perdana Menteri meminta semua penjawat awam memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Shamsul Azri yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara baharu sejak 12 Ogos lalu.
Katanya, beliau percaya Shamsul Azri akan bekerja dengan semangat satu pasukan bersama penjawat awam bagi menaikkan lagi prestasi perkhidmatan serta memenuhi harapan rakyat.
“Saya juga menyeru rakan-rakan, seperti (Ketua Setiausaha Negara) terdahulu, beri kerjasama sepenuhnya, keputusan sudah dibuat, keputusan apa pun termasuk pelantikan Perdana Menteri bukan bermakna ia keputusan terbaik, tetapi sudah dibuat.
“Jadi sudah ada keputusan, ada tekad, ada amanah besar untuk kita laksanakan dan tawakal,” katanya.-BH Online