Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kota Tinggi : Kementerian Pertahanan (Mindef) memberikan tempoh sehingga Oktober ini kepada pembekal bagi penghantaran empat helikopter sewaan, Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya gagal menepati masa diberikan, pihaknya akan membatalkan kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter itu.

“Belum (buat keputusan pembatalan), kita beri masa sampai Oktober untuk penghantaran.

“Jika tiada penghantaran (helikopter Black Hawk), akan batal (kontrak pembekal). Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan,” katanya pada sidang media selepas perasmian perasmian My Villa di Dewan Felda Air Tawar 3 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Mindef berhubung pembatalan kontrak perolehan perkhidmatan sewaan empat helikopter Black Hawk.

Awal bulan lalu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata Mindef sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.

Sebelum ini, Mindef dilaporkan akan membuat penilaian menyeluruh terhadap perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum menentukan langkah seterusnya sama ada untuk membatalkan kontrak atau berikan masa tambahan kepada pembekal.

Berhubung kematian penyelam Ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika operasi salvaj KD Pendekar, baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata, laporan siasatan punca kejadian dijangka diperoleh dalam tempoh asa sebulan.

“Bedah siasat kita sudah buat untuk Allahyarham, tetapi laporan macam mana Allahyarham sama ada tersangkut atau bagaimana, kita kena buat siasatan rapi. 

“Dalam tempoh sebulan (dapat laporan),” katanya.-Harian Metro Online