Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: UMNO merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelantangan beliau menyuarakan pendirian tegas Malaysia dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin. 

Ucapan sama turut dirakamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Kementerian Luar, yang memainkan peranan aktif sehingga membawa kepada penerimaan keanggotaan penuh Palestin oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Terbaru, usaha membawa rakyat Palestin mendapatkan rawatan di negara ini, yang membuktikan keprihatinan Malaysia terhadap mereka yang sudah lama tertindas akibat kekejaman Israel.

“Usaha ini tidak akan terhenti setakat itu saja. Kita akan meneruskan sokongan sehingga Palestin dapat menghirup udara kemerdekaan dalam erti kata sebenarnya.

“Almarhum Ismail Haniyeh (Ketua Biro Politik Hamas) bukan sekadar pemimpin tetapi juga seorang sahabat yang sangat rapat dengan saya. Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah supaya rohnya ditempatkan bersama para syuhada dan Allah meredai perjuangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut memuji Menteri dan Menteri Besar daripada UMNO yang komited dalam memastikan amanah yang dipikul dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Ia termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang melakar kejayaan penting selepas Malaysia menang di Mahkamah Antarabangsa di The Hague, Belanda; Perancis dan Sepanyol dalam kes tuntutan kumpulan Sulu, yang membawa makna besar kepada kedaulatan rakyat Sabah.

“Begitu juga halnya komitmen dan ketegasan Kementerian Perladangan dan Komoditi yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dalam mendepani diskriminasi terhadap minyak sawit oleh negara Eropah. 

“Langkah ini bagi menjamin kelangsungan industri sawit negara, yang membabitkan nasib dan masa depan peneroka kita di FELDA, FELCRA, RISDA dan Lembaga-Lembaga Kemajuan Tanah di seluruh negara,” katanya.

Selain itu katanya, empat negeri yang diketuai Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada UMNO juga menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

Pahang mencapai kutipan hasil sebanyak RM 1.16 bilion bagi 2023 dan Perak dengan pelaburan oleh syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) di Proton City, Tanjung Malim, yang memangkin peluang latihan, kemahiran dan pekerjaan buat anak tempatan.

Selain itu, Johor menerima pelaburan mencecah RM113.7 bilion bagi tempoh dua tahun dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.1 peratus, mengatasi pertumbuhan nasional 3.6 peratus, manakala Melaka terus menjadi destinasi pelancongan utama dan Negeri Sembilan sebagai sebahagian kerajaan Perpaduan yang dapat menjamin kestabilan.-BH Online