BATU PAHAT: Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan acuan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi menghadapi PRK DUN Mahkota, Kluang, bulan depan.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata meskipun berjaya merampas Nenggiri dengan majoriti lebih besar, landskap politik di DUN Mahkota berbeza daripada segi pendekatan dan demografi selain jumlah pengundinya yang agak besar.nullnull
Beliau berkata, DUN Mahkota memiliki kira-kira 66,000 pengundi dan berbeza profil terutama terdapat lebih 4,000 pengundi tentera serta 400 pengundi polis.
“Kita tahu kalangan pengundi di DUN Mahkota terdiri anak muda berusia 39 tahun ke bawah, ia merupakan komposisi umur yang cukup besar iaitu meliputi 52 peratus.
“Sudah tentu ia memerlukan penyelarasan daripada pusat dan saya yakin dengan kekuatan jentera di Johor dan juga jentera tempatan selain kombinasi antara pusat, negeri dan bahagian akan memperkukuhkan jentera yang akan bergerak di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Tamat Perbarisan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-15, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam, Datuk Aminurrahim Mohamed.
Pada sidang media itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Onn Hafiz selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor sebagai pengarah pilihan raya DUN Mahkota, manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Ahmad Maslan dilantik selaku timbalan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula dilantik Pengerusi Bilik Gerakan BN manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota merangkap Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Mohd Jais Sardy sebagai Pengarah Operasi.
Dalam pada itu, ditanya mengenai calon BN di DUN Mahkota, Ahmad Zahid berkata, senarai sudah diterima namun belum disenarai pendek.
“Insya-Allah kita akan mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan peringkat negeri dan bahagian, kita harus menghormati hierarki dalam membuat keputusan.
“Saya sangat menghormati calon disenarai pendek berdasarkan boleh menang, mudah diterima dan kriteria ini akan diguna pakai untuk memilih calon DUN Mahkota,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan BN di Nenggiri semalam, Ahmad Zahid berkata, kemenangan itu adalah manifestasi kepada penerimaan UMNO dan BN di Kelantan yang diketahui sudah lama ditadbir PAS hingga lebih tiga dekad.
“Namun kerelevenan UMNO dan BN di Kelantan harus diterima sebagai satu hakikat bukan hanya penerimaan tetapi kebangkitan semula UMNO dan BN yang disimbah dengan pelbagai fitnah tuduhan penghinaan dan juga beberapa isu terkait terhadap Pengerusi BN dan juga Presiden Umno secara peribadi.
“Bagi kami, tindakan dilakukan dalam pilihan raya terutama dalam kempen kita menggunakan garis panduan mengikut akta SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) namun yang lebih penting, dari segi akhlak.
“Kita boleh berbeza politik dan pendapat tetapi kita harus ada adab untuk menangani perbezaan itu, tanpa menyentuh peribadi calon atau mana mana pemimpin kerana pengundi semakin bijak untuk membuat keputusan bagi menentukan undi mereka.” katanya.-BH Online