Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GUA MUSANG: Seramai 482 pelajar Orang Asli yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya mendapat surat tawaran melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kadar kemasukan anak masyarakat Orang Asli ke pusat pengajian tinggi meningkat setiap tahun.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada remaja dan anak-anak Orang Asli di IPTA di seluruh negara untuk melanjutkan pelajaran mereka bagi yang berkelayakan.

“Dalam soal pendidikan Orang Asli tidak pernah diabaikan oleh kerajaan termasuk dalam Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Pendidikan yang diberikan kepada masyarakat Orang Asli sudah bermula seawal usia kanak-kanak dengan membuka kelas pendidikan prasekolah, Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA), sekolah rendah dan menengah di penempatan mereka bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dalam soal pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, oleh itu menjadi fokus dan perjuangan calon Barisan Nasional (BN) di PRK DUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani untuk membangunkan aspek pendidikan kepada masyarakat Orang Asli di Nenggiri.

Katanya tidak hanya aspek pembangunan, kebajikan dan kesihatan malahan soal pendidikan juga menjadi agenda utama BN dan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan Orang Asli tidak tercicir dalam arus kemajuan.

“Menjadi komitmen kerajaan tanpa membezakan kaum dan bangsa termasuk hak Orang Asli untuk mendapatkan pendidikan baik di peringkat menengah mahupun peringkat yang lebih tinggi akan terus diperjuangkan,” katanya.

Terdahulu beliau hadir dalam lawatan dan menyantuni komuniti Orang Asli di Pos Gob, Pos Pasik, Pos Pulat serta Pos Simpor, yang turut disertai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Pembangunan) Mohd Zamri Mustajab.-BH Online