KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri menyebut pelantikan itu berkuat kuasa 12 Ogos ini bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bersara wajib berkuatkuasa 10 Ogos ini.
Shamsul Azri, 55 berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari Universiti Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.
Beliau juga menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya Universiti Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).
Pelantikan Shamsul Azri, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam, Shamsul Azri pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Tan Sri Mohd Zuki Ali di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara.
“Penghargaan itu khususnya dalam usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.-BH Online