Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia secara konsisten menyokong proses damai di Sudan dan menyokong pembangunannya melalui platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata usaha kemanusiaan daripada Malaysia merangkumi pelbagai inisiatif yang bertujuan meringankan penderitaan dan kesusahan rakyat Sudan.

“Ia termasuk membantu pelarian Darfur, menawarkan biasiswa kepada pelajar Sudan, menyediakan latihan teknikal dan pembinaan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), serta menyalurkan bantuan kewangan melalui Bulan Sabit Merah Sudan.

“Perang saudara Sudan bukan konflik semata-mata, terapi ia adalah krisis kemanusiaan yang menuntut perhatian masyarakat global,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Persidangan Sudan: The Forgotten War di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di sini, hari ini.

Mohamad berkata, persidangan atau perbincangan yang diadakan itu menekankan keperluan untuk penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang terhadap situasi yang berlaku di Sudan.

“Selain memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas, seperti makanan, tempat tinggal dan penjagaan perubatan dan tumpuan juga perlu diberikan bagi memupuk keamanan dan kestabilan yang mampan di Sudan.

“Kerajaan Malaysia terus komited untuk memajukan hak asasi manusia dan keadilan sosial di persada antarabangsa. 

“Pada masa yang sama, Malaysia menyokong Kerjasama Selatan-Selatan melalui pertukaran kepakaran pembangunan, termasuk dalam konteks pasca konflik,” katanya.

Jelasnya, krisis kemanusiaan di Sudan adalah salah satu tragedi yang paling teruk dan kurang dilaporkan ketika ini.

“Walaupun mempunyai populasi pelarian dalaman terbesar di dunia, dengan lebih 11 juta orang terjejas, ia masih diabaikan.

“Sejak pertengahan April 2023, dianggarkan 7.3 juta orang telah dipindahkan secara dalam dan paling terjejas ialah kanak-kanak yang menyumbang separuh daripada penduduk yang dipindahkan,” katanya.

Menurut Mohamad, lebih 18 juta orang, atau lebih daripada 37 peratus penduduk Sudan adalah berisiko kerana kekurangan makanan yang tersedia dan berpatutan.

“Konflik telah menyebabkan penderitaan yang tidak terperi dan meninggalkan jejak kemusnahan yang akan mengambil masa beberapa generasi untuk pulih. 

“Kisah dan data yang menyayat hati, perpindahan, kehilangan dan kelangsungan hidup yang kita dengar setiap hari, bukan sekadar statistik, tetapi kehidupan sebenar yang terjejas teruk oleh keganasan dan ketidakstabilan,” katanya.

Tambahnya, bagi memulihkan keamanan dan kestabilan di Sudan, ia memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak kepentingan utama dan rakan kongsi antarabangsa. 

“Malaysia percaya dengan penggunaan dialog dan pengantaraan sebagai wadah untuk menangani konflik yang sedang berlaku secara konstruktif.

“Pembabitan pihak ketiga yang neutral adalah penting, yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak yang berperang bagi memudahkan pendekatan yang adil dan seimbang bagi semua pihak yang terbabit. 

“Akhirnya, keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui rasa kebersamaan,” katanya.

Katanya, semua pihak perlu mendekati usaha berkenaan dengan penuh tanggungjawab mengenai kemanusiaan dan kewajipan moral secara bersama serta perlu bertindak dengan penuh pertimbangan dan belas kasihan bagu menangani krisis terbabit dengan berkesan.-BH Online