Kuala Lumpur: Axiata Arena Bukit Jalil yang menjadi lokasi Himpunan Pembebasan Palestin malam ini dipenuhi kira-kira 12,000 peserta yang mahu menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin.
Setakat 8.30 malam, orang ramai kelihatan masih berpusu-pusu memasuki pintu utama stadium, sementara menunggu ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, lebih 12,000 peserta memenuhi Axiata Arena dan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terpaksa dibuka bagi menampung jumlah peserta yang semakin ramai.
“Stadium bola sepak (SNBJ) dibuka pada jam 8:30 malam tadi. Keadaan buat masa ini adalah terkawal,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata, 428 pegawai dan anggota polis diatur gerak untuk mengawal keselamatan dan kelancaran lalu lintas di sekitar Bukit Jalil.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati himpunan itu turut dihadiri diplomat dan perwakilan dengan kenderaan membawa mereka dilihat tiba di pekarangan stadium sekitar 7.30 malam.
Antaranya, perwakilan dari Kedutaan Palestin, Maghribi, Tajikistan, Turkiye, Lubnan, Republik China, dan Guinea.-Harian Metro Online