Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata nilai ringgit berada di landasan terbaik dalam tempoh 14 tahun kerana usaha bersama seluruh rakyat Malaysia.

Dalam ucapannya pada Himpunan Perdana Rakyat anjuran PKR Sabah di sini hari ini, Anwar memberi penghargaan kepada dasar-dasar kerajaan dan hubungan diplomatik serta ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan negara lain.

Katanya, peluang mengukuhkan ekonomi negara itu akan diteruskan selepas beliau dijemput bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, tidak lama lagi.

“Ia bukan kerana saya, bukan kerana Anwar tetapi kerana dasar-dasar kerajaan, kekuatan dan perpaduan kita.

“Ini adalah hasil usaha pasukan kita dalam kerajaan Madani, hasil usaha rakyat. Inilah sebabnya kita dihormati.”

Hari ini, kadar satu dolar Amerika Syarikat ialah RM4.49.

Beliau berkata beliau menerima jemputan Putin itu sebagai wakil bagi Malaysia dan Sabah serta Sarawak.

Anwar berkata beliau sering memasukkan Sabah apabila mengadakan perbincangan berkaitan pelaburan, pelancongan, teknologi baharu dan tenaga boleh diperbaharui ketika kunjungan ke luar negara.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata walaupun beliau mempunyai hubungan baik dengan pimpinan Filipina, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan berkompromi mengenai kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.

“Hubungan peribadi saya dengan Presiden Filipina Bongbong Marcos, beliau menganggap saya sebagai seorang kawan baik.

“Oleh itu, kita perlu berbincang dengan baik. Tetapi apabila ia membabitkan kedaulatan negara dan kedudukan Sabah dalam Malaysia, kita tidak akan berkompromi sama sekali,” katanya.-BH Online