Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SIBU: Orang ramai digesa tidak merakam video untuk media sosial jika melihat ada kanak-kanak mengalami penderaan atau pengabaian, sebaliknya menghubungi pihak berkuasa atau Talian Kasih 15999.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata masyarakat harus tahu apa yang perlu dilakukan jika melihat sesuatu yang mencurigakan.

“Lapor segera kepada polis atau Talian Kasih 15999. Jangan hanya rakam video untuk media sosial, tapi laporkan kepada kami,” katanya berucap semasa merasmikan Program Advokasi Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sibu, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, Pasukan Pelindung Kanak-Kanak (PPKK) juga perlu diberikan peluang untuk lebih mengenali kanak-kanak di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, hal itu membolehkan mereka memainkan peranan dan tanggungjawab sebagaimana yang telah digariskan dalam Garis Panduan PPKK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK).

Mengenai program advokasi itu, beliau berkata, penganjurannya bertujuan meningkatkan kefahaman kanak-kanak mengenai situasi golongan itu yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

“Di situlah kita beri peluang kepada kanak-kanak tahu apa perlu dilakukan apabila berlaku sesuatu pada diri mereka atau orang lain yang mereka kenali,” katanya.

Katanya, program dianjurkan bersama pihak polis dan pihak yang berkaitan, terutama yang menjalankan penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak.

Nancy berharap semua pihak dapat bersama-sama mencari penyelesaian yang tepat dalam mengatasi permasalahan sosial berkait kanak-kanak serta menjaga keselamatan dan melindungi golongan itu agar dapat mengekang peningkatan kes penderaan dan pengabaian.-BH Online