Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Satu perhimpunan solidariti bersama Palestin akan diadakan Ahad ini bagi memberi isyarat jelas pendirian rakyat Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata perhimpunan yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula jam 8 malam itu, diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Katanya, perhimpunan itu dijangka dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Kabinet serta pemimpin negara.

“Rakyat Malaysia dijemput hadir dan kita membuka ruang ini kepada semua pihak untuk bersama memberikan solidariti (dalam isu Palestin).

“Ini juga diharap menjadi isyarat yang jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa pendirian rakyat Malaysia dalam isu Palestin tidak berubah, kita akan terus bersolidariti dengan rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.-BH Online