Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Georgetown: Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) kini sedang dalam proses menyediakan laporan mengenai cadangan perubahan gaji minimum untuk dikemukakan kepada Kabinet, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, MGPN yang terdiri daripada wakil majikan, pekerja dan kerajaan itu mengadakan pertemuan pada akhir bulan Jun lalu bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Seperti yang anda lihat, kita sudah membincangkan mengenai mekanisme gaji berbeza yang sedang kita laksanakan kerana gaji minimum sangat penting dengan saya telah melihat data, statistik dan penyelidikan.

“Kita melihat kesan positif dalam 10 peringkat paling bawah sekurang-kurangnya mengalami pertumbuhan gaji positif sehingga 60 peratus dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu kerana dasar gaji minimum.

“Jadi ia sangat penting dan kritikal dan kerana itu kita perlu melakukannya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Sumber Manusia Wilayah Utara 2024 di Pusat Pusat Konvensyen Setia SPICE, hari ini.

Sim berkata, pihaknya percaya kerajaan tidak boleh menaikkan gaji dengan hanya menggunakan undang-undang semata-mata.

“Anda tidak boleh memberi arahan kepada perniagaan, katakanlah hari ini anda naikkan (gaji) kepada angka tertentu, kemudian dua bulan kemudian atau satu tahun kemudian anda memberi arahan lagi.

“Kita tidak boleh buat begitu, (penetapan) gaji tidak berfungsi dengan cara sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, berikutan itu Dasar Gaji Progresif (DGP) dilaksanakan pada Jun lalu dengan pada dasarnya, kerajaan membayar majikan supaya mereka boleh membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja masing-masing.

Beliau memaklumkan, pelaksanaan DGP setakat ini telah menarik penyertaan kira-kira 430 syarikat dengan seramai 1,200 pekerja mendapat manfaat daripada dasar baharu itu.

Katanya, pekerja yang menyertai program itu perlu menjalani latihan kemahiran selama 21 jam antaranya membabitkan sektor pembuatan, pembinaan, perdagangan borong serta runcit, pembaikan kenderaan bermotor, maklumat serta komunikasi, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

Sim berkata, langkah itu bertujuan memastikan bayaran lebih tinggi yang diterima pekerja terbabit adalah adalah setimpal dengan kemahiran terkini sekali gus meningkatkan produktiviti.-Harian Metro Online