KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, sebagai peristiwa sangat tragik dan kejam, jelas bertujuan menggagalkan rundingan sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan terbabit sambil menuntut keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis bagi menghentikan pembantaian, khususnya di Gaza.
“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.
“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan saja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.
Anwar berkata, rakyat Palestin sudah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya dan insiden pembunuhan Haniyeh juga membangkitkan kebimbangan tentang nasib mereka.
“Mereka yang mengkritik saya saat ketemu saudara Haniyeh sebelum ini sudah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan.
“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” katanya.
Anwar ketika mengadakan lawatan rasminya ke Qatar pada Mei lalu, sempat bertemu Haniyeh.
Pertemuan tertutup empat mata antara dua pemimpin itu sebelum ini, berlangsung di sebuah hotel dengan antara inti pati pertemuan sudah tentu untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.
PM hubungi ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim
Sementara itu, Anwar hari ini turut mengadakan perbualan telefon bersama Ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim, antara lain menyatakan komitmen Malaysia yang teguh mendukung perjuangan untuk sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk mengutuk kekejaman (pembunuhan) ini. Saya tahu anda sibuk sekarang, tetapi saya perlu sampaikan, bukan hanya bagi pihak keluarga tetapi juga semua saudara di sini bahawa kami masih terkejut dan sangat marah kerana masyarakat antarabangsa gagal memperjuang serta memastikan keamanan dan keadilan tertegak,” katanya.-BH Online