Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jurang di antara negara terkaya dan termiskin di samping konflik antarabangsa yang semakin meningkat menampakkan masyarakat Islam sedunia belum bersatu dan berdiri bersama, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda melihat sesetengah daripada masyarakat Islam berkembang maju, manakala yang lain mengalami kesusahan dan kekurangan yang mengerikan, sekali gus menunjukkan masyarakat Islam masih tidak berdiri bersama.nullnull

Justeru, Sultan Perak mengunjurkan, perlu difikirkan bagaimana untuk membantu ahli komuniti antarabangsa paling terdedah, khususnya mereka yang dibelenggu kemiskinan dan kesusahan serta kanak-kanak daripada semua latar belakang.

Tegas Sultan Nazrin, dunia tidak seharusnya boleh berpuas hati untuk meninggalkan walau satu komuniti global di belakang.

“Laporan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHDR) mendedahkan angka terkini yang mengandungi amaran mengerikan.

“Ini kerana walaupun pembangunan manusia seperti yang diukur oleh Indeks Pembangunan Manusia (HDI) mungkin sudah bertambah baik sejak 2014, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan beberapa ‘trend’ membimbangkan,” titah baginda.

Sultan Perak bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama diraja sempena perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (WCIT 2024) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Di seluruh dunia, Sultan Nazrin bertitah, pembangunan manusia hari ini mengikuti trajektori yang lebih lemah berbanding unjuran pra-COVID-19 dengan kebimbangan sebenar ialah pemulihan HDI terbukti sangat tidak sama rata.

“Jurang antara negara yang mempunyai tahap pembangunan terendah dan tertinggi semakin melebar, dengan negara di hujung berada bawah indeks berisiko ketinggalan. Lebih-lebih lagi, laporan terbaharu menunjukkan trend kelaparan global sudah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kekurangan zat makanan mencapai tahap yang tidak dilihat selama lebih sedekad,” titah baginda sambil menegaskan, menjadi kewajipan untuk membantu manusia sejagat tanpa mengira anutan kepercayaan, seperti diajarkan al-Quran.

Sultan Nazrin memetik ayat suci membawa maksuk ‘sesiapa yang menyelamatkan nyawa walau seorang manusia seolah-olah dia sudah menyelamatkan seluruh manusia’.

Walaupun terdapat beberapa penambahbaikan dalam penunjuk HDI sepanjang dekad lalu, titah baginda, ia tidak jauh lebih baik memandangkan lebih separuh daripada negara dikategorikan Pembangunan Manusia Rendah (LHD) menerusi laporan terbaharu UN adalah anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sultan Perak menegaskan, populasi majoriti negara Islam masih banyak diwakili dalam kalangan termiskin di dunia, malah kajian yang menunjukkan bahawa walaupun di negara dengan Pembangunan Manusia Sangat Tinggi (VHHD), penduduknya yang Islam sering hidup dibelenggu kekurangan.

Baginda mengambil contoh di United Kingdom (UK), kira-kira separuh daripada umat Islam dianggarkan hidup dalam kemiskinan berbanding hanya 18 peratus penduduk secara keseluruhan.

“Adalah tidak wajar jika begitu ramai saudara se-Islam di seluruh dunia hidup tanpa sumber untuk menampung keperluan asas harian mereka. Kita tidak boleh berdiri bersama jika ada di antara kita berjuang untuk terus hidup,” titah baginda.

Mengambil tema ‘berdiri bersama’ sempena WCIT 2024, baginda bertitah, sewajarnya umat Islam sebagai sebahagian komuniti manusia global merasai ‘kesakitan’ sedang dirasai, sama ada dalam kalangan saudara seagama seperti umat Islam di Gaza dan Sudan, mahupun bukan seagama seperti konflik di Ukraine. 

“Di seluruh dunia, sama ada di Gaza atau Sudan, saudara Islam kita dalam kesakitan dan kita mesti merasai kesakitan itu bersama mereka. Kita mesti mengiktiraf kesakitan orang bukan Islam juga, dalam situasi konflik seperti Ukraine, sambil kita berusaha untuk memahami kemanusiaan yang benar-benar global,” titah baginda.-BH Online