Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini mengadakan mesyuarat bersama Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura, Josephine Teo yang antara lain memfokuskan kepada pelesenan platform media sosial.

Perbincangan berlangsung sejam di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) bertujuan memastikan persekitaran internet yang selamat khususnya untuk seisi keluarga dan kanak-kanak.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabtu lalu mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi bermula 1 Ogos sebagai sebahagian daripada rangka kawal selia baharu yang akan diperkenalkan.null

Singapura mempunyai rangka kawal selia ke atas platform media sosial di negara itu sejak 2022.

Fahmi diiringi delegasi Malaysia termasuk Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Khairul Nazran Abdul Rahman, serta barisan pegawai MCMC.

Sebelum pertemuan, Fahmi dan delegasi bertemu pegawai dari MDDI dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), sebuah badan berkanun yang membangun dan mengawal selia sektor infokom dan media di Singapura.

Delegasi diberi taklimat mengenai Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) Singapura, Akta Jenayah Dalam Talian (OCHA) serta pengendalian krisis dan kecemasan seperti penyebaran maklumat palsu berkaitan keselamatan awam atau ancaman kesihatan.

Semasa lawatan kerja itu, Fahmi juga dijadual bertemu pengendali platform media sosial bagi menangani isu berkaitan kandungan dalam talian termasuk penipuan, buli siber dan pornografi. – BERNAMA