Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ibu bapa dan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta Institut Pendidikan MARA (IPMa) yang lain perlu menjadi mata dan telinga dengan segera melaporkan sebarang kes berkaitan keracunan makanan atau buli.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan, bahawa identiti pengadu tidak akan didedahkan.

“Semua ibu bapa dan pelajar mesti jadi mata dan telinga saya. Saya tidak akan dedahkan identiti yang melaporkan (kes keracunan makanan dan buli),” katanya ketika menjawab komen pengikutnya di Facebook beliau.

Semalam menerusi entri di akaun media sosialnya itu, Asyraf mengingatkan mana-mana pihak bertanggungjawab untuk tidak menutup sebarang perilaku buli mahupun kejadian keracunan makanan di MRSM ataupun mana-mana IPMa.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyembunyikan sebarang insiden seumpama itu di mana-mana IPMa.

Entri itu kemudian dihujani maklum balas serta keluhan ramai, dengan ada individu dipercayai ibu bapa kepada pelajar, turut berkongsi satu kes keracunan makanan yang dialami anak mereka. 

Asyraf dalam ruangan komennya kemudiannya meminta semua sektor di MARA supaya membaca dan mengambil tindakan terhadap komen daripada orang ramai di media sosialnya. 

“Apa-apa pun boleh terus komen dan bagi maklum balas kerana saya sudah bagi arahan pada semua sektor di MARA agar mereka turut baca dan ambil tindakan komen-komen daripada orang ramai,” katanya.

MARA dalam kenyataan sebelum ini memandang serius berkaitan kes kebersihan penyediaan makanan dan sentiasa prihatin dengan kebajikan serta keselamatan seluruh pelajar di IPMa, selain mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara seumpama itu berlaku.

Sehubungan itu, MARA meminta ibu bapa tidak perlu merasa bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.-BH Online